‘Suspek tak anggap miliki bahan lucah sebagai kesalahan’

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Polis bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), malam tadi melancarkan serbuan ke atas individu yang disyaki memiliki dan mengedar Bahan Penderaan Seksual Kanak-Kanak (CSAM).

NST melaporkan, operasi ‘Op Pedo Bersepadu PDRM-MCMC’ diketuai Bahagian Siasatan Seksual, Wanita, dan Kanak-Kanak Bukit Aman (D11), membabitkan siri serbuan secara terselaras di enam negeri, iaitu Kuala Lumpur, Selangor, Johor, Terengganu, Pulau Pinang dan Perak.

Dalam operasi itu, pihak berkuasa menyerbu beberapa rumah di kawasan kejiranan mewah dan perumahan sederhana serta kos rendah, yang membawa kepada penahanan 13 suspek.
Pihak berkuasa turut merampas 40,000 bahan CSAM dan kandungan pornografi daripada pelbagai peranti termasuk komputer, telefon bimbit dan cakera keras luaran.

Pihak berkuasa mula bergerak menyerbu sasaran di enam negeri itu tepat jam 9 malam, dengan anggota polis mengetuk pintu 20 rumah milik suspek.

Mereka yang ditahan berusia antara 20 hingga 74 tahun.

Dalam banyak kes, pihak berkuasa berdepan dengan keluarga yang terkejut apabila mengetahui ahli keluarga mereka secara diam-diam menyimpan bahan CSAM.

Salah satu serbuan di kawasan kejiranan mewah di Petaling Jaya menemui 3,500 bahan lucah dalam komputer suspek.

Satu lagi serbuan di Klang membawa kepada penemuan lebih 500GB kandungan lucah, sebahagiannya disyaki adalah CSAM.

Dalam beberapa kes, bahan lucah terbabit disimpan dalam komputer suspek di bawah nama seperti ‘Kids’ dan ‘Rape’.

Beberapa suspek, apabila disoal siasat polis mendakwa tidak menganggap tindakan mereka serius hingga boleh menyebabkan ditahan.

Tindakan tegas itu susulan pemantauan dan kerja penyamaran yang dijalankan pihak polis, disokong maklumat yang diberikan MCMC.

Pasukan serbuan merangkumi Bahagian Makmal Forensik Bukit Aman (D10), Bahagian Bantuan Teknikal (D6) dan Jabatan Siasatan Jenayah.

Difahamkan, suspek yang beroperasi secara dalam talian dengan identiti palsu dikesan kerana aktif mengakses dan berkongsi kandungan CSAM di platform mesej dan media sosial.

Beberapa suspek mengakui mencari dan membeli kandungan lucah melalui platform media sosial dan mesej, seperti X dan Telegram.
-BeritaHarian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427