Suspek kes buang sisa kimia di rizab Sungai Langat ditahan

Estimate Reading Time: < 1 minute

SHAH ALAM: Seorang lelaki warga tempatan ditahan kerana disyaki terbabit kes pembuangan sisa bahan kimia secara haram di rizab Sungai Langat, Taman Sri Reko, Kajang di sini.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor,

Nor Aziah Jaafar, berkata suspek berusia awal 30-an itu ditahan kira-kira jam 3.30 petang di Bukit Serdang pada Sabtu lalu.

Katanya, tangkapan itu susulan serbuan dilakukan sepasukan anggota JAS Selangor dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Hasil maklumat risikan, JAS Selangor menemui lori muatan tiga tan yang disyaki digunakan dalam aktiviti terbabit yang berpotensi mencemarkan sungai dan menyebabkan gangguan bekalan air di Selangor.

“Lori berkenaan kemudian disita untuk siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi bagi mengulas perkembangan kes itu.

Nor Aziah berkata, pihaknya sedang melengkapkan kertas siasatan untuk mendakwa suspek.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang sabit kesalahan boleh dipenjara mandatori dan didenda tidak melebihi RM500,000,” katanya.

BH sebelum ini melaporkan, kerajaan Selangor mengesan dua lokasi pembuangan sisa bahan kimia secara haram di Taman Sri Reko dan Kajang Perdana.

Siasatan dilakukan JAS, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) menemui 21 tong sisa kimia di lokasi terbabit.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari

dilaporkan berkata, kerajaan negeri tidak akan berkompromi dengan cubaan mensabotaj bekalan air dengan penemuan tong bahan kimia itu.

Katanya, kegiatan jenayah itu perlu diperangi demi kesejahteraan hidup rakyat.

“Semua tong mengandungi bahan kimia dipercayai bahan alkali ditemui berhampiran Sungai Langat.

“Kerajaan Selangor tiada kompromi atas cubaan untuk sabotaj bekalan air yang akan menjejaskan kehidupan rakyat. Jenayah ini harus diperangi,” katanya.

-BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427