JOHOR BAHRU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pemanis, Dr Chong Fat Full mendakwa surat kontrak ganti rugi RM10 juta yang ditandatangani bersama Parti Keadilan Rakyat (PKR) semasa menjadi calon parti itu adalah tidak sah.
Katanya, ia bertentangan dengan perkara 10 Perlembagaan Persekutuan dan melangar hak untuk berpersatuan.
Beliau sehingga ini masih belum menerima apa-apa surat berkaitan tindakan berhubung perkara terbabit.
“Sebenarnya kalau ikut perkara 10 Perlembagaan Persekutuan, surat kontrak ganti rugi RM10 juta yang dikenakan terhadap calon PKR yang keluar parti adalah tidak sah.
“Ada beberapa faktor yang menyebabkan ia tidak sah termasuk melanggar hak berpersatuan.
“Malah, ada satu kes di Mahkamah Tinggi yang memutuskan peraturan PAS bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan pada tahun 1992 menghalang wakil rakyatnya, Nordin Salleh yang melompat parti, melanggar Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.
“Malah ada satu lagi perkara, yang saya ingat surat kontrak terbabit tidak mempunyai tarikh,” katanya ketika dihubungi.
Dr Chong berkata, petisyen yang dibuat terhadapnya adalah suara pihak yang berkepentingan dan bukan suara sebenar rakyat di DUN Pemanis.
Tambahnya, beliau hanya berpegang kepada angkat sumpah yang dibuat sebagai salah seorang Pengerusi Jawatankuasa negeri yang berkhidmat kepada raja dan rakyat.
“Negara kita ada kebebasan bersuara asalkan jangan langgar undang-undang. Saya senang saja, bila sudah angkat sumpah (pelantikan exco) itu, kita berkhidmat untuk rakyat dan raja.
“Di dalam akuan sumpah itu tidak sebut mengenai parti pun,” katanya. – Berita Harian