Sultan Nazrin berkenan berangkat ke sambutan Hari Pahlawan Negeri Perak

Estimate Reading Time: < 1 minute

IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat ke sambutan Hari Pahlawan Negeri Perak di Dataran Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Turut berangkat Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah.

Keberangkatan tiba baginda pada 9 pagi disambut Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad; Panglima Armada Barat, Laksamana Madya Datuk Abu Bakar Md Ajis; Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri dan Panglima Briged Kedua Infantri Malaysia, Brigedier Jeneral Asri Shukor.

Majlis dimulakan dengan dendangan lagu kebesaran negeri Perak diikuti pemeriksaan kawalan kehormat oleh Sultan Nazrin yang terdiri daripada tiga pegawai dan 103 anggota lain-lain pangkat dari Rejimen Askar Jurutera Diraja, 2 Divisyen, Kem Sangro Taiping yang dipimpin oleh Mejar Muhiburrahman Khairulanuar dan dibantu Leftenan Muhamad Zulfadzli Abdul Ghani dan Pegawai Waran 1, Mohamad Fairus Nizam Zabory.

Pegawai pembawa panji-panji adalah Leftenan Muhammad Afiq Aris dengan detasmen perhimpunan mengandungi seramai 400 pegawai dan anggota pasukan keselamatan yang turut merangkumi veteran tentera serta pesara polis.

Majlis diiringi pancaragam Brass Band KD Pelanduk, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut dengan kekuatan 44 orang di bawah pimpinan Leftenan Dya Muhamad Ali Rajaie Nor Mohamed.

Sebaik kawalan kehormat selesai, tiupan paluan akhir dimainkan dan bendera Jalur Gemilang kemudian diturunkan.

Majlis diteruskan dengan bacaan doa khas Hari Pahlawan oleh Mejar Mohd Risal Osman dari Markas 2 Briged Infantri Malaysia dan diikuti deklamasi sajak bertajuk ‘Pahlawanku’ yang dideklamasikan oleh Kapten Sharifudin @ Abu Danial Abu Talib dari Batalion ke-23 Rejimen Askar Melayu Diraja.

Sebaik selesai, tiupan Rouse kemudian dimainkan dan Jalur Gemilang kembali dinaikkan semula diikuti lagu kebesaran negeri Perak sebelum kawalan kehormatan utama keluar perbarisan menandakan penamat upacara.

Sultan Nazrin kemudian berkenan berangkat ke Majlis Santapan di Dewan Bankuet sebelum berangkat pulang.

– BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427