Suhu panas melampau landa selatan Sepanyol lagi

Estimate Reading Time: < 1 minute

MADRID: Orang ramai sekali lagi berhadapan cuaca panas terik di Sepanyol selepas dua minggu mengalami gelombang haba, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Di Andalusia, suhu meningkat sehingga 44 darjah Celsius pada petang Isnin.

Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan AEMET mengisytiharkan amaran merah, tahap tertinggi, di wilayah yang menempatkan bandar utama Seville dan Cordoba itu.

Bandar-bandar itu sudah pun menyaksikan suhu memuncak kepada 44 darjah pada bulan Jun.

Suhu siang hari yang tinggi itu membebankan penduduk, terutama kanak-kanak, warga emas dan mereka yang sakit selain memberi kesan kepada alam semula jadi.

Pada waktu malam suhu jarang turun di bawah 25 darjah.

Cuaca juga sangat panas di bahagian lain di negara itu pada Isnin, sehingga 39 darjah di ibu negara Madrid dan sehingga 35 darjah di pulau percutian Mallorca.

Suhu lebih rendah di Catalonia pada 30 darjah dan di utara negara itu, suhu mencatatkan sekitar 25 darjah.

Gelombang haba kedua musim panas ini mungkin reda menjelang akhir minggu, menurut ahli meteorologi.

Di Sepanyol, gelombang haba meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini seperti yang dinyatakan oleh Perkhidmatan Cuaca Negara.

Jurucakap AEMET Ruben del Campo berkata yang jelas, perubahan iklim (akibat tindakan manusia) punca kepada peningkatan kejadian cuaca melampau.

– BERNAMA-dpa

– BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427