Subsidi bersasar lebih adil, jadi ramuan asas peralihan tenaga

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Apabila kerajaan mengumumkan pelaksanaan subsidi bersasar tenaga elektrik ke atas pengguna domestik mulai separuh kedua tahun ini, ia mahu melindungi golongan berpendapatan rendah, memupuk budaya peka tenaga serta menjadi ramuan asas peralihan tenaga bersih demi kelestarian alam dan kesejahteraan masa depan rakyat.

Dengan jangkaan penjimatan sebanyak RM4.1 bilion, kerajaan boleh menyalurkan penjimatan daripada subsidi bersasar tersebut kepada industri lain yang lebih memerlukan.

Dalam tempoh enam bulan pertama ini, kerajaan dianggarkan membiayai RM10.8 bilion dalam bentuk rebat kepada pelbagai lapisan pengguna domestik termasuk golongan berpendapatan tinggi sekali gus menyumbang beban fiskal kepada belanjawan negara.

Sebuah organisasi autonomi antara kerajaan yang berpangkalan di Paris, Perancis, Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) telah lama menganjurkan supaya subsidi bahan api fosil dihapuskan atau dikurangkan kerana ia melebarkan defisit fiskal dalam ekonomi membangun, menghantar isyarat harga yang salah kepada pengguna dan memesongkan pasaran serta tidak menggalakkan penggunaan tenaga boleh baharu (TBB) yang lebih bersih.

“Harga bahan api fosil yang tinggi melanda mereka yang paling miskin tetapi subsidi jarang disasarkan dengan baik untuk melindungi kumpulan yang terdedah ini sebaliknya cenderung memberi manfaat kepada segmen penduduk yang lebih berada (golongan mewah),” kata analisis terkini IEA mengenai subsidi bahan api fosil 2022.

Organisasi yang ditubuhkan pada tahun 1974 itu yang menyediakan cadangan dasar, analisis dan data mengenai keseluruhan sektor tenaga global, menyifatkan pemberian subsidi memang dapat mengurangkan kesusahan tetapi tidak mendidik pengguna berjimat dan peka tenaga atau beralih kepada sumber tenaga alternatif, selain dana awam tersebut tidak dapat dibelanjakan bagi tujuan kebaikan lain.

“Kita harus menggandakan usaha untuk mengurangkan penggunaan membazir dan mempercepatkan peralihan tenaga bersih. Adalah lebih baik bagi kerajaan menghabiskan masa dan wang untuk perubahan struktur yang mengurangkan permintaan bahan api fosil demi faedah jangka panjang dan bukannya menurunkan bil tenaga apabila harga bahan api (penjanaan) meningkat,” kata laporan itu lagi.

– Buletin TV3

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427