ALOR SETAR: Anggota bomba mengambil masa hampir 10 minit untuk mengeluarkan subang yang tersangkut di hidung seorang wanita di rumahnya di Jalan Stadium, malam tadi.
Dalam kejadian jam 10.20 malam itu, wanita berusia 30 tahun berkenaan dipercayai gagal mengeluarkan subang yang tersangkut pada hidungnya menyebabkan dia menghubungi pasukan penyelamat.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu jam 10.26 malam.
Beliau berkata, lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar tiba di lokasi pada jam 10.29 malam.
“Anggota berjaya melakukan operasi mengeluarkan subang pada hidung mangsa menggunakan dua alat pemotong khas.
“Subang berjaya dikeluarkan jam 10.48 malam tanpa sebarang kecederaan pada mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohamadul Ehsan berkata, operasi perlu dilakukan berhati-hati bagi mengelak sebarang kecederaan pada mangsa.
-BH