Suami isteri direman 7 hari didakwa dera anak

Estimate Reading Time: < 1 minute

BUKIT MERTAJAM: Mahkamah Majistret di sini hari ini membenarkan permohonan polis untuk mereman sepasang suami isteri yang disiasat atas dakwaan mendera anak perempuan mereka berusia 11 tahun.

Pembantu pendaftar Nor Hapipah Abdullah membenarkan pasangan itu direman 7 hari untuk disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001. Perintah reman itu bermula hari ini hingga 16 Feb ini.

Polis berkata, pasangan itu mempunyai 2 anak, iaitu mangsa dan adik lelakinya yang berusia 8 tahun.

Bapa itu mempunyai 7 anak lain dengan isteri ke-2. Mereka berusia setahun, 8, 11, 14, 16, 17 dan 19 tahun.

Ketua Polis Seberang Perai Tengah, Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata, bapa itu yang berusia 36 tahun didapati positif methamphetamine.

“Kami tidak menemui tanda penderaan pada 8 anak lain,” katanya ketika dihubungi.

Semalam, polis menemui mangsa dengan mata bengkak, lebam di muka dan seluruh badannya, dipercayai akibat dipukul menggunakan topi keledar dan batang kayu.

Seorang pegawai berkata, kanak-kanak itu hampir tidak dapat membuka matanya ketika dibawa ke Hospital Seberang Jaya untuk dirawat.

Doktor menemui luka di depan kepalanya, kedua-dua matanya bengkak, lebam di siku kanan, bekas luka di lengan kanan dan kiri serta bengkak di kedua-dua kakinya. Terdapat juga parut lama di tulang selangka kirinya.

Kanak-kanak itu akan menjalani imbasan otak hari ini untuk mengesan kemungkinan berlaku pendarahan dalaman. Selepas dirawat, beliau akan diletakkan di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat. -FMT

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427