Struktur baharu Harimau Malaya diumum hari ini

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Teka teki mengenai siapa ketua jurulatih baharu skuad senior dan pasukan bawah 23 (B-23) tahun Harimau Malaya akan terjawab hari ini.

Ia susulan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail menerusi laman Instagram miliknya, malam tadi memaklumkan nama individu yang akan menggalas tugas itu akan diumumkan hari ini.

“Esok (hari ini) akan diumum berkenaan ketua jurulatih pasukan kebangsaan. Ketua jurulatih skuad B-23, pasukan perubatan dan teknologi yang akan memberi impak kepada pasukan kebangsaan,” tulis Tunku Mahkota Ismail di ruangan Instagram Story.
Sebelum ini, beberapa nama termasuk John Hutchinson, Arthur Papas dan Peter Cklamovski dikaitkan sebagai antara calon pengendali baharu Harimau Malaya.

Menerusi perkongsian sama, Tunku Mahkota Ismail memaklumkan nama Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Pengarah Teknikal bagi struktur baharu Harimau Malaya akan diumumkan dalam masa terdekat.

Bekas Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang juga Pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) itu juga mendedahkan bahawa mesyuarat dengan wakil Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) turut diadakan untuk mendapatkan data pemain kacukan di luar negara.
“Selepas ketua jurulatih selesai, akan diumumkan CEO dan pengarah teknikal dalam masa terdekat,” katanya.
-BeritaHarian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427