Stadium kembali bergema

Estimate Reading Time: 2 minutes

Putrajaya: Selepas hampir setahun suram ekoran larangan ke stadium oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) disebabkan wabak Covid-19, khabar gembira menunggu buat jutaan peminat bola sepak apabila mereka kemungkinan dibenarkan hadir semula menyaksikan perlawanan musim depan.

Sudah pasti berita positif itu dinantikan peminat di seluruh negara yang sudah tidak sabar menyokong pasukan kegemaran mereka beraksi dalam saingan Liga Malaysia (Liga M).

Menurut Presiden Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Hamidin Mohd Amin, pihaknya sudah memaklumkan kepada MKN berkenaan prosedur operasi standard (SOP) yang perlu diikuti semua pihak dan beliau mengakui ia tampak berjalan lancar.

Begitupun, Hamidin menegaskan pihaknya tetap akan menghormati keputusan pihak berwajib yang akan ditentukan oleh MKN kelak.

“Saya kira harapan cerah dan saya fikir akan ada pengumuman tentang perkara ini jadi sama-sama kita tunggu, memang kita berurusan setiap hari untuk kembalikan penonton. Apa pun kesudahannya, MKN yang berkuasa menentukan bola sepak boleh bermain atau tidak walaupun kami sudah buat segalanya dan sentiasa peka semua perkara termasuklah berkenaan kesihatan dan arahan kerajaan yang mahu semuanya meneruskan kehidupan dengan norma baharu,” katanya pada sidang media Mesyuarat Rakan Kongsi Liga Kali Ke-4, semalam.

Ujarnya lagi, buat permulaan fokus MFL adalah bagi membolehkan penyokong hadir dengan skala yang kecil, membabitkan 10 peratus bilangan penyokong dari kapasiti sebenar sesebuah stadium.

“Kita terima usul daripada ahli gabungan sebulat suara untuk bertegas meminta MKN dan KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) memberi kemasukan berskala kecil penyokong Liga M musim depan.

“Kita pun sudah bawa kepada KBS (Kementerian Belia dan Sukan) dan akan bawa secara rasmi ke MKN. Jumlah awal yang yang kita bincangkan adalah 10 peratus (penyokong dari kapasiti stadium).

“Perkara ini akan membabitkan banyak perkara termasuk kemeriahan Liga M dan penajaan. Kita pergi kepada skala kecil dahulu dan akan tingkatkan dari satu tahap ke satu tahap,” katanya.

Sementara itu, pengurus pasukan Pahang, Datuk Suffian Awang berharap cadangan itu dapat dipertimbangkan kerajaan Malaysia dalam usaha menyelamatkan industri bola sepak tanah air.

-Harian Metro

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427