PARIS: Juara bertahan Afrika Selatan menganggap pertembungan final Piala Dunia Ragbi awal pagi Ahad ini menentang “musuh terhebat” New Zealand “paling sukar” ketika kedua-dua pasukan masing-masing mengintai peluang untuk melakar rekod merebut kejuaraan kali keempat.
Springboks dan All Blacks berkongsi permusuhan yang tiada tolok bandingnya dalam sukan itu dan mara ke final di Stade de France susulan kemenangan dramatik ke atas Perancis dan Ireland pada suku akhir.
Selepas pasukan hemisfera utara mengungguli tangga teratas setiap empat kumpulan, harapan tinggi menggunung Piala Webb Ellis akan menjadi milik pasukan Eropah buat kali pertama sejak England pada tahun 2003.
Namun ia tidak menjadi kenyataan. Wales menyertai Perancis dan Ireland tersingkir awal selepas kecundang di tangan Argentina – yang tumbang di tangan New Zealand pada separuh akhir – dan England tunduk kepada Boks pada pertembungan separuh akhir.
Jadi sekali lagi trofi itu akan menuju ke selatan, ke satu daripada dua pasukan paling berjaya dalam Piala Dunia, masing-masing menang tiga kali sebelum ini.
Afrika Selatan tidak pernah tewas pada final Piala Dunia, menang pada edisi 1995, 2007 dan 2019.
New Zealand menang pada tahun 1987, 2011 dan 2015 tetapi tumpas pada final 1995 kepada Springboks.
“Perlawanan akhir Piala Dunia tidak semestinya satu pertembungan paling menarik,” kata jurulatih Afrika Selatan, Jacques Nienaber, yang akan mengambil alih di kelab wilayah Ireland, Leinster selepas kejohanan di Perancis.
“Jika anda lihat perlawanan terdahulu, ia sering kali sengit dan ini juga akan menjadi sengit. Ia pasti sukar untuk memenanginya.”
Nienaber, pasukannya Boks tewas 13-8 kepada Ireland pada peringkat kumpulan berkata, perlawanan akhir menemukan dua kuasa besar ragbi “tidak akan berlaku dalam kehidupan kami sekali lagi.”
“Ia mungkin satu pertembungan terbesar yang mana kami terbabit dan mungkin perlawanan ragbi terbesar pernah diadakan.
“Satu dan dua bermain sesama sendiri pada final Piala Dunia dan siapa saja yang menang akan muncul negara pertama menjuarai Piala Dunia kali keempat. Ia luar biasa.”
Jurulatih All Blacks, Ian Foster, pasukannya tumbang 27-13 di tangan tuan rumah Perancis pada perlawanan pembukaan kejohanan itu awal bulan lalu, menyatakan perlawanan akhir itu menampilkan “dua pasukan yang bermusuhan buat sekian lamanya.”
“Kami masih ingat final terakhir antara kami (pada tahun 1995), yang juga satu perlawanan epik dan harapnya kali ini ia berulang. Kemudian anda membuat perkiraan dan kami masing-masing memenangi Piala Dunia tiga kali dan seseorang akan menang kali keempat, jadi ia final yang istimewa.”
Nienaber memanggil semula Faf de Klerk dan Handre Pollard, yang mengutip 22 mata untuk membantu Afrika Selatan menang 32-12 ke atas England di Jepun bagi kegemilangan Piala Dunia empat tahun lalu, dalam skuad 15 pemain.
– AFP
– BeritaHarian