GEORGETOWN: Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) akan menyerahkan lima feri ikonik lama di negeri ini kepada syarikat yang berkelayakan, mulai 1 Julai depan.
Pengerusi SPPP, Datuk Tan Teik Cheng, berkata majlis penyerahan feri terbabit bakal diadakan sekiranya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditamatkan tetapi jika tidak, ia hanya akan dilakukan secara dalam talian.
Susulan penularan COVID-19, beliau berkata, SPPP turut menubuhkan sebuah pasukan khas bagi membantu syarikat yang akan menerima feri berkenaan.
“Sebelum ini, SPPP banyak menerima cadangan berhubung feri ikonik terbabit selepas membuka tender permintaan untuk cadangan (RFP) dari 29 Januari hingga 18 Mac lalu.
“Selepas dinilai beberapa jawatankuasa SPPP, mesyuarat Lembaga Pengarah SPPP pada pertengahan bulan ini sudah meluluskan syarikat yang berkelayakan untuk mengubah suai dan mengendalikan lima feri ikonik.
“SPPP dan syarikat yang berjaya akan menandatangani kontrak untuk tempoh 10 tahun dengan opsyen disambung selama lima tahun lagi,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Beliau memaklumkan, syarikat terbabit kemudian akan mengubah suai feri ikonik berkenaan menjadi sebuah muzium terapung, dua feri pelancongan dan dua restoran terapung.
“Syarikat berkenaan diberi tempoh tiga hingga enam bulan untuk memperbaiki dan mengubah suai feri ikonik terbabit sebelum beroperasi.
“Misi utama SPPP sekarang ialah memastikan lima feri ikonik itu terus muncul di perairan Pulau Pinang.
“Saya percaya feri berkenaan akan menjadi produk pelancongan yang penting dan tempat percutian menarik di negeri ini.
“Ia sekali gus akan mendorong sektor pelancongan dan merangsang ekonomi Pulau Pinang,” katanya.-BH