SJAM anjur program derma darah di 15 lokasi, tujuh negeri

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR, 9 Nov — St. John Ambulans Malaysia (SJAM) dengan kerjasama Pusat Darah Negara (PDN) akan menganjurkan program derma darah buat kali kedua tahun ini, di 15 lokasi membabitkan tujuh negeri, dalam usaha menampung bekalan darah yang semakin berkurangan.

SJAM menerusi satu kenyataan hari ini memaklumkan, program tiga hari berkenaan yang akan bermula Jumaat ini akan dilaksanakan secara serentak di Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Kuala Lumpur, Selangor dan Johor.

Menurut SJAM, penganjuran program tersebut bagi membantu PDN menggantikan bekalan darah yang semakin berkurangan disebabkan negara dilanda gelombang ketiga COVID-19 terutama di Sabah, apabila bilangan penderma semakin menurun ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Pemerintah Agung SJAM Datuk Lai See Ming dalam kenyataan itu berkata pihaknya akan terus menganjurkan sebanyak mungkin program berkenaan bagi membantu tabung darah hospital kerajaan seluruh negara apabila terdapat keperluan.

SJAM, katanya, akan memastikan prosedur operasi standard bagi mencegah COVID-19 sentiasa dipatuhi dengan semua lokasi derma darah akan disediakan pembersih tangan pembasmi kuman dan pengimbas suhu, selain memastikan semua kemudahan lain seperti kerusi dan katil dibersihkan setiap kali digunakan.

Penderma yang berminat dinasihatkan melayari laman web atau media sosial PDN dan juga laman web SJAM di http://sjam.org.my/blooddonation/ untuk memperoleh maklumat terkini mengenai jadual dan lokasi menderma darah.-BERNAMA

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427