Sistem e-PG bolehkan Mahkamah Majistret urus kes trafik secara maya

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Badan Kehakiman Malaysia melancarkan Sistem Pengakuan Salah Kes Trafik Secara Dalam Talian (Sistem e-PG) bagi mendigitalkan proses pengakuan bersalah kes kesalahan trafik, sekali gus mempercepatkan proses pelupusannya.

Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan dalam kenyataannya, berkata projek rintis Sistem e-PG kini dilaksanakan di Mahkamah Majistret 3 Shah Alam, bagi semua kes trafik yang didaftarkan bermula 2 hingga 5 Februari ini.

Mengulas lanjut, katanya, pelancaran sepenuhnya Sistem e-PG di Mahkamah Majistret seluruh Semenanjung akan bermula 1 April ini, manakala bagi Sabah dan Sarawak bermula Jun.

“Sistem e-PG adalah platform dalam sistem aplikasi mahkamah, digunakan untuk merekodkan pengakuan salah melalui teknologi komunikasi jarak jauh, selain alternatif kepada prosiding sedia ada yang menghendaki orang kena saman (OKS) untuk hadir secara fizikal ke mahkamah.

“Sistem ini dilancarkan ekoran statistik di Mahkamah Majistret menunjukkan, lebih daripada satu juta kes saman trafik yang didaftarkan, terdiri daripada kes yang kebanyakannya berakhir pengakuan bersalah dan hukuman denda.

“Sistem e-PG ini dapat mengurangkan keperluan penerima saman kesalahan trafik untuk hadir ke mahkamah, sekaligus dapat menjimatkan masa, wang ringgit dan menjaga keselamatan serta kesihatan ketika pandemik COVID-19 melanda,” katanya melalui kenyataan, di sini hari ini.

Pada masa sama, Badan Kehakiman Malaysia juga berharap inisiatif pendigitalan teknologi seperti Sistem e-PG ini akan lebih memperkasakan pentadbiran keadilan dan memperluaskan akses kepada keadilan untuk semua pihak.

Menurutnya, apabila Sistem e-PG dilancarkan sepenuhnya, OKS di seluruh negara, boleh membuat pengakuan salah bagi kesalahan tersenarai dari mana-mana tempat menggunakan peranti mudah alih mereka sendiri.

Katanya, antara kesalahan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 133) yang dibenarkan untuk OKS mengaku salah ialah larangan bagi kenderaan motor yang tidak mematuhi kaedah (Seksyen 6); pendaftaran kenderaan motor dan pemunya (Seksyen 7); dan pemeriksaan kenderaan motor dan pemberian maklumat kepada ketua pengarah (Seksyen 12).

“Sekiranya OKS memilih untuk membuat pengakuan salah melalui Sistem e-PG ini, kehadiran OKS ke Mahkamah adalah dikecualikan, melainkan jika diarahkan mahkamah sebaliknya.

“Bagi program rintis, orang awam yang mempunyai kes yang didaftarkan di mahkamah berkenaan boleh melayari sistem e-PG di https://ecourt.kehakiman.gov.my

bermula 2 Februari nanti,” katanya.

Selain itu, Pejabat Ketua Pendaftar berkata, orang awam boleh melayari portal rasmi Badan Kehakiman Malaysia di www.kehakiman.gov.my untuk sebarang maklumat lanjut.

-BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427