Sindiket seleweng diesel subsidi di Terengganu tumpas

Estimate Reading Time: < 1 minute

DUNGUN: Sindiket penyelewengan diesel yang menyasarkan beberapa stesen minyak dalam daerah Dungun dan Kemaman terbongkar dengan penahanan empat lori dalam Ops Tiris hari ini.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu, Saharuddin Mohd Kia berkata serbuan itu membabitkan 11 anggota penguat kuasa KPDN dengan bantuan 12 polis.

Dalam serbuan jam 1 pagi, KPDN menahan dua lori yang sedang mengisi diesel iaitu dua di Paka dan satu di Kerteh, Kemaman.

“Dalam serbuan di Paka kita menahan dua lori sedang mengisi minyak diesel di dua stesen minyak dengan jumlah 6,630 liter diesel.

“Sebuah lori yang ditahan di Kerteh, Kemaman ditahan sedang mengisi diesel kira-kira 7,000 liter,” katanya.

Semua lori terbabit mengisi minyak ke tangki kenderaan sebelum minyak terbabit dipindahkan ke tangki tambahan dalam lori.

“Atas risikan itu juga, anggota kami turut pergi ke sebuah depo di Paka dan menahan sebuah lori tangki yang berfungsi sebagai induk dengan berisi diesel kira-kira 32,000 liter,” katanya.

Semua diesel yang dirampas termasuk lori, beberapa dokumen berkaitan disita dan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM313,104.50.

Tiga lelaki warga tempatan berusia 20-an yang mengaku sebagai pemandu lori berkenaan ditahan bagi membantu siasatan.

– BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427