Simpanan minyak sawit mentah naik 0.40 peratus pada September — MPOB

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR, 12 Okt — Simpanan minyak sawit mentah Malaysia (MSM) meningkat 0.40 peratus kepada 934,710 tan pada September lepas daripada 930,990 tan yang direkodkan semasa bulan sebelumnya, kata Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

MPOB dalam laporan prestasi industri berkenaan bagi September berkata simpanan minyak sawit yang diproses menokok 2.24 peratus dari bulan ke bulan kepada 790,410 tan pada bulan itu berbanding 773,070 pada Ogos.

Pada bulan yang ditinjau, pengeluaran MSM bertambah sebanyak 0.32 peratus dari bulan ke bulan kepada 1.87 juta tan daripada 1.86 juta tan sebelumnya, manakala output isirung sawit adalah 1.39 peratus lebih tinggi pada 466,080 tan daripada Ogos sebanyak 459,679 tan.

Menurut MPOB, eksport minyak sawit naik 1.88 peratus dari bulan ke bulan kepada 161 juta tan berbanding 1.58 juta tan sebelumnya, manakala eksport oleokimia merosot 1.07 peratus dari bulan ke bulan kepada 237,617 tan daripada 240,196 tan.

Eksport biodiesel pada Ogos melonjak 59.54 peratus dari bulan ke bulan kepada 39,367 tan berbanding 24,675 tan sebelum ini, manakala eksport minyak isirung sawit meningkat 31.58 peratus kepada 134,714 tan daripada 102,379 tan yang dicatatkan semasa Julai.

MPOB berkata eksport kek isirung sawit bertambah 3.35 peratus dari bulan ke bulan kepada 255,773 tan daripada 247,489 tan sebelumnya.- BERNAMA

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427