Sime Darby Property semak naik unjuran jualan hartanah RM3.5 bilion

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Sime Darby Property Bhd (Sime Darby Property) menyemak naik unjuran jualan setahun penuh kepada RM3.5 bilion berbanding RM3.0 bilion sebelum ini, di sokong pertumbuhan kukuh segmen pembangunan hartanah.

Pengarah Urusan Kumpulannya, Datuk Seri Azmir Merican, berkata unjuran lebih baik turut dipacu oleh langkah kumpulan pemaju hartanah terkemuka itu dalam mempelbagaikan pelancaran produk termasuk komponen perindustrian dan kediaman.

“Sime Darby Property turut memiliki simpanan tanah seluas 5301.38 hektar dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) melebihi RM100 bilion yang bakal dibangunkan.
“Kumpulan memiliki asas yang kukuh dan rekod pencapaian yang teguh untuk terus berkembang menjadi syarikat hartanah terkemuka menjelang 2025 dengan aset di bawah pengurusan (AUM) mencecah RM4.4 bilion setakat tahun kewangan 2023,” katanya dalam taklimat media prestasi kewangan enam bulan pertama Sime Darby Property secara maya hari ini.

Bagi tempoh enam bulan pertama 2024, Sime Darby Property meraih jualan tertinggi mencecah RM2.1 bilion, melonjak 40 peratus berbanding RM1.5 bilion yang dicatatkan tempoh yang sama tahun lalu.

Mengulas lanjut, Azmir berkata, Sime Darby Property akan melancarkan hartanah bernilai RM1.57 bilion pada separuh kedua 2024, diterajui oleh komponen kediaman bertingkat dengan anggaran GDV RM884 juta, komponen perindustrian (RM384 juta) dan kediaman bertanah (RM197 juta).

“Kami sangat agresif dalam memperkenalkan produk hartanah dengan anggaran GDV mencecah RM4.9 bilion ke pasaran selaras dengan semakan sasaran jualan setahun penuh kumpulan,” katanya.

Untuk separuh pertama, Sime Darby Property sudah melancarkan hartanah bernilai RM2.3 bilion, diterajui oleh komponen perindustrian dengan berjumlah sekitar RM900 juta, pembangunan bertingkat (RM762 juta) dan kediaman bertanah mencecah hampir setengah bilion ringgit.

Mengulas mengenai prospek hartanah separuh kedua, beliau menjelaskan, perkembangan pasaran sangat bergantung kepada pertumbuhan ekonomi yang baik ketika ini.

“Kita dijangka memanfaat hasil daripada perkembangan ekonomi yang positif ini kepada pemaju hartanah termasuk Sime Darby Property.

“Menuju ke hadapan, Sime Darby Property menjangkakan momentum yang mampan pada separuh kedua didorong oleh permintaan yang sihat dan peningkatan jumlah jualan. Transformasi berterusan syarikat menjadi syarikat hartanah terkemuka kekal di landasan yang kukuh,” katanya.

Bagi tempoh enam bulan pertama berakhir 30 Jun 2024, Sime Darby Property meraih pendapatan mencecah RM2.2 bilion, manakala keuntungan operasi, keuntungan sebelum cukai (PBT), dan keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) meningkat lebih dua kali ganda tahun ke tahun kepada masing-masing RM532.2 juta, RM446.3 juta, dan RM285.5 juta.

Prestasi kewangan kumpulan disumbangkan terutamanya oleh momentum jualan yang mampan merentasi campuran produk yang pelbagai serta kemajuan kerja-kerja pembinaan yang lebih baik dalam segmen pembangunan hartanah.

Sime Darby mencapai prestasi jualan separuh tahun tertinggi, mencecah RM2.1 bilion bagi enam bulan pertama 2024 dengan prestasi suku kedua lebih baik dengan pendapatan meningkat sebanyak 75 peratus tahun ke tahun kepada RM1.2 bilion, manakala PBT meningkat sebanyak 132 peratus kepada RM265.6 juta.

Peningkatan ketara dalam jualan didorong terutamanya oleh peningkatan aktiviti dan kemajuan pembangunan di tapak pembinaan daripada perbandaran utama seperti Bandar Bukit Raja, Bandar Serenia, Bandar Elmina, KLGCC Resort, dan perbandaran Ara Damansara, ditambah dengan sumbangan daripada pengewangan tanah bukan teras di Selangor yang membawa kepada peningkatan keseluruhan sebanyak 133 peratus PBT kepada RM476 juta.

Pendapatan segmen pengurusan pelaburan & aset (IAM) meningkat sebanyak 11 peratus kepada RM58.1 juta disokong oleh kadar penghunian yang lebih tinggi, yang mencapai 96 peratus dan pengembalian sewa yang positif di KL East Mall.
-BeritaHarian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427