KUALA LUMPUR: Nama ditolak gara-gara jumlah pengikut rendah dalam laman sosial membuatkan pelakon Shiqin Kamal, 32, kecewa dengan sikap selektif sesetengah produksi.
Jika bakat bukan lagi menjadi ukuran, sebaliknya kemasyhuran lebih menjadi keutamaan, Shiqin akui, sampai bila-bila standard drama tempatan akan terus berada di takuk lama.
“Saya kecewa biarpun lakonan sering dipuji, namun malangnya, nama saya sukar untuk diketengahkan kerana jumlah pengikut rendah dalam laman sosial.
“Jika sampai bila-bila jumlah ‘follower’ dijadikan ukuran, drama tempatan tidak akan ke mana.
“Jadi, syarikat produksi janganlah merungut jika pelakon memiliki ramai pengikut tidak boleh berlakon atau menimbulkan masalah disiplin seperti datang lambat.
“Ini kerana ia adalah pilihan penerbit dan pengarah, telan sahaja kerenah artis yang disanjung itu,” katanya kepada BH Online.
Shiqin atau nama sebenarnya, Nur Ashiqin Mohd Kamal berkata, pemilihan pelakon berdasarkan jumlah pengikut tidak lagi relevan kerana tidak menjamin rating atau mampu menarik penonton ke panggung.
Mula melakar nama menerusi drama Lagenda Budak Setan ketika berusia 19 tahun berkata, dia kembali mencipta nama selepas hampir empat tahun mengundur diri kerana menyambung pengajian di peringkat Ijazah Sarjan Muda Sains Aktuari, Universiti Teknologi MARA (UiTM).
Bagaimanapun, Shiqin bersyukur dia tidak bimbang soal tawaran dengan bantuan syarikat pengurusan yang cekap menguruskan kerjaya seninya.
“Ketika mula buat ‘comeback’ memang agak mencabar kerana perlu bersaing dengan nama baharu.
“Namun, saya bersyukur syarikat pengurusan membantu mendapat banyak peluang. Setakat ini, ‘job’ tidak pernah putus,” katanya.
Sering ditawarkan watak antagonis, Shikin tidak nafikan watak hitam mampu melonjakkan nama, tetapi enggan memainkan peranan sama.
“Walaupun seronok membawa watak jahat, tetapi nama saya tidak membantu melonjakkan jumlah pengikut dalam laman sosial.
“Biarpun orang kata lakonan kita sampai jika ada orang yang membenci, namun saya pula tidak seronok jika ada yang menjeling atau menghamburkan kata-kata kurang enak untuk didengar.
“Jumlah pengikut juga tidak meningkat disebabkan persepsi penonton menyangka saya bersikap dalam dunia realiti,” katanya.
Sementara itu, mengulas pencalonan awal menerusi kategori Couple Filem Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-35 bersama Zahiril Adzim dalam filem Ada Hantu 2, Shiqin berkata, dia terkejut apabila mendapat tahu namanya membolosi salah satu kategori.
“Lebih sedekad bergelar pelakon, saya tidak mengejar populariti, sebaliknya fokus kini hanyalah pada kerja.
“Pengurus memaklumkan mengenai majlis sidang media ABPBH 35, tetapi saya ingatkan hanya diundang memeriahkan majlis.
“Pada tahap sekarang, saya bukan lagi mengejar populariti. Jadi, saya memang tak sangka nama mampu bolos ABPBH 35.
“Jujurnya, saya belum ada perancangan atau strategi untuk memenangi kategori ini,” katanya.
-Berita Harian