Sheikh Sudais dilantik Ketua Badan Bebas Hal Ehwal Agama dua kota suci bertaraf menteri

Estimate Reading Time: < 1 minute

MAKKAH: Kerajaan Arab Saudi, semalam, mengumumkan pelantikan Sheikh Dr Abdul Rahman Al-Sudais sebagai Ketua Hal Ehwal Agama Masjidil Haram dan Masjid Nabawi bertaraf Menteri, lapor Agensi Berita Saudi (SPA).

Perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Majlis Kabinet Saudi yang dipengerusikan oleh Penjaga Dua Masjid Suci, Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud, di Istana Al-Salam di Jeddah, Arab Saudi.

Pelantikan Sudais disepakati selepas Majlis Kabinet bersetuju mengenai penubuhan ‘Presidensi Hal Ehwal Agama Masjidil Haram Dan Masjid Nabawi, iaitu sebuah badan bebas yang bernaung di bawah institusi DiRaja Saudi bagi menyelia urusan dan pengajaran agama di dua Kota Suci umat Islam itu.

Selain itu, majlis Kabinet juga memutuskan untuk mengubah nama Jabatan Tertinggi bagi Hal Ehwal Masjidil Haram dan Masjid Nabawi kepada Badan Am bagi Urusan Masjidil Haram dan Masjid Nabawi.

Majlis Kabinet turut sepakat menamakan Dr Tawfiq Fawzan Al-Rabiah, yang juga Menteri Haji dan Umrah, sebagai Pengerusi badan am baharu itu.

Fungsi badan ini akan tertumpu kepada menguruskan perkhidmatan, operasi, penyelenggaraan dan pembangunan di kedua-dua masjid.

Lembaga pengarah dan anggota pertubuhan itu akan dilantik menerusi titah diraja.

– BERNAMA-SPA

-BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427