Sh Marzety enggan dabik dada, tekad beri inspirasi

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Meskipun dinobatkan sebagai Wanita Ikon Malaysia bagi 2024/2025, ia bukannya alasan untuk Dr Sh Marzety Aadibah Al Sayed Mohamad mendabik dada, sebaliknya usahawan itu mahu menggunakan masa yang ada untuk membangunkan golongan wanita di negara ini.

Beliau yang juga Timbalan Pengarah (Penyelidikan dan Komuniti di Pusat Islam Sultan Mahmud Universiti Malaysia Terengganu (UMT), menganggap anugerah yang diterima adalah satu amanah kepada dirinya dalam memberi inspirasi, transformasi serta membawa idea untuk menongkah arus perubahan dalam membangkitkan wanita di negara ini.

Anak jati Air Deras, Bukit Payung, Terengganu itu berkata, apa yang dilakukan bukannya satu perkara baharu kepada dirinya, sebaliknya ia sudah dilakukan sejak lebih 10 tahun lalu.

Katanya, memang sejak dahulu dirinya mahukan golongan wanita di negara ini diangkat dan disebabkan itu perusahaannya dikenali sebagai Zety Roses Garden sentiasa menjalankan seminar percuma dalam meningkatkan taraf hidup wanita di Malaysia.

“Sebenarnya apa yang diinspirasikan untuk menjadi Wanita Ikon ini sudah saya buat lebih 10 tahun lalu. Di Zety Roses and Farm kita setiap minggu memang tidak pernah putus jalankan tanggungjawab sosial korporat (CSR).

“Setiap minggu kita akan panggil kumpulan wanita ini datang untuk mendengar seminar percuma serta beberapa aktiviti penting untuk tingkatkan ekonomi golongan berkenaan.

“Ketika mereka berada dengan kita, masa itu kita akan ambil peluang buka minda, beri cadangan sebagai inspirasi dalam menjana pendapatan untuk membasmi kemiskinan serta kita ajar mereka mengenai kesihatan mental,” katanya.

Justeru, beliau sangat bersyukur dengan kemenangan itu kerana dapat meneruskan CSR yang dilakukan selama ini dengan komuniti yang lebih besar.

“Alhamdulillah, selepas terbabit dengan Wanita Ikon ini, hala tujunya sama seperti yang saya lakukan ketika menjadi ahli perniagaan. Jadi, saya dapat kembangkan apa yang saya ada ini dengan lebih banyak wanita di luar sana,” katanya.

Ketika ditanya apa yang menjadi keutamaannya selepas ini, Dr Sh Marzety berkata, beliau akan menumpukan kepada perubahan minda wanita untuk berfikir kerana itu adalah penentu kepada tindakan yang bakal diambil mereka.

“Kita perlukan perubahan dari segi cara berfikir, kerana setiap tindakan dan tingkah laku kita ini sebenarnya bermula dengan cara kita berfikir. Itu sepatutnya diubah, supaya fikiran menjadi lebih positif, seterusnya membuahkan tindakan lebih baik dan mengubah seseorang itu ke arah yang lebih baik” katanya.

Dalam setiap perjuangan memartabatkan wanita, Sh Marzety berkata beliau sering mengumpamakan perjalanan seorang wanita itu sebagai bunga mawar yang sangat cantik, namun dikelilingi pelbagai duri.

“Kepada semua wanita di luar sana, jangan berputus asa. Hayati dan ambil inspirasi daripada sekuntum bunga mawar yang sangat cantik, indah, namun di sebalik keindahan berkenaan, kecantikan dan keharuman itu sebenarnya penuh dengan duri.

“Jadi sebagai wanita kita harus mengharungi sesuatu yang penuh dengan cabaran, dugaan, rintangan demi untuk capai ke kemuncak,” katanya.

“Insya-Allah apa yang kita inginkan itu nanti akan menjadi kenyataan, sama seperti sekuntum bunga mawar yang tersangat cantik,” katanya.

Sh Marzety memperoleh ijazah sarjana muda dalam bidang Bimbingan dan Kaunseling dari Universiti Putra Malaysia pada 2002 dan meneruskan pengajiannya dalam Ijazah Sarjana Sains Sosial di Universiti Malaya pada 2006, dan doktor falsafah (PhD) dalam bidang Kaunseling di Universiti Malaya pada 2011 serta mempunyai kelayakan dalam Expressive Art Therapy dari Australia.

Selain aktif sebagai ahli perniagaan, beliau turut menjalankan kerja sosial termasuk program Jejak Remaja Hebat dan Rebuilders: I’m Possible, membantu golongan muda dan ibu bapa dalam pembangunan diri serta pernah memenangi beberapa anugerah lain.
-BeritaHarian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427