SESB distruktur semula untuk tambah baik bekalan elektrik di Sabah, kata Bung Moktar

Estimate Reading Time: 2 minutes

KOTA KINABALU: Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) yang mengurus bekalan elektrik di Sabah, akan distruktur semula secara besar-besaran bagi memastikan ia mampu berdaya saing, selain memberi perkhidmatan terbaik untuk rakyat negeri itu.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya Sabah Bung Moktar Radin berkata, SESB menggariskan 5 bidang keberhasilan utama (KRA) untuk tujuan transformasi tersebut.

Aspek itu adalah fokus kepada kawal selia berasaskan insentif bermula pada Januari depan, jaminan bekalan, meningkatkan kepuasan pelanggan, peningkatkan aliran tunai serta transformasi organisasi.

“Syarikat ini mengalami kerugian demi kerugian, selain bekalan elektrik terputus dan tidak mencukupi. Oleh itu, kita bincang dengan kementerian di peringkat persekutuan (mengenai cadangan) penstrukturan semula SESB dan ini dipersetujui.

“Apabila SESB dapat bangkit semula, barulah kita ambil alih (pemilikannya) dan kendalikan bekalan elektrik sendiri.

“Adalah diharapkan semua (proses) ini dapat selesai dalam 5 hingga 6 tahun,” katanya pada sidang media di ibu pejabat Jabatan Kerja Raya Sabah di sini, hari ini.

Bung Moktar juga berharap sSuruhanjaya Tenaga Sabah dan Lembaga Pembangunan Tenaga Lestari (Seda) Negeri Sabah dapat ditubuhkan bagi mengurus pembekalan tenaga secara lebih efisyen.

Selain itu, bagi menyelesaikan masalah bekalan elektrik di pantai timur Sabah, satu projek penjana tenaga bebas (IPP) baru dengan kuota 1,000 megawatt (MW) menggunakan penjanaan gas akan dilaksanakan di kawasan tersebut, kata beliau.

Sebagai permulaan, kerajaan persekutuan memberi kuota 300MW bagi penjanaan tenaga di kawasan itu dengan meneliti kaedah, termasuk tenaga solar dan ‘mobile barges’ (kemudahan mudah alih), sementara menunggu IPP baru itu dilaksanakan.

Menurutnya, tenaga 300MW itu adalah sementara dan dijangka siap dalam masa setahun hingga satu setengah tahun yang melibatkan kos kira-kira RM1 bilion.

“Kita struktur semula SESB dahulu dan lakukan penjanaan itu. Apabila tenaga 300MW itu ada, barulah kita lancarkan IPP (1,000MW) sama ada di Sandakan, Tawau atau Lahad Datu,” katanya.

Beliau berkata, apabila IPP itu siap, projek grid transmisi elektrik antaranya bagi Kota Kinabalu ke Sandakan serta Sandakan ke Tawau akan diteruskan bagi memastikan penggunaan dan pembekalan tenaga secara meluas.

-FMT

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427