Sentimen penerimaan rakyat kepada gabungan PH, BN makin meningkat – Anwar

Estimate Reading Time: < 1 minute

NIBONG TEBAL: Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sentimen penerimaan rakyat kepada Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) ketika ini semakin meningkat berbanding tahun lalu.

Perdana Menteri merangkap Pengerusi PH itu optimis keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) akan memihak kepada gabungan PH dan BN.

Presiden PKR itu juga berkata, orang ramai juga sudah bijak dan mampu menilai kesahihan berhubung fitnah membabitkan ancaman terhadap Islam yang sering dimainkan Perikatan Nasional (PN), sebelum ini.

“Dulu dia (rakyat) dengar semua yang negatif, ‘Anwar akan tarik balik hak Islam’ dan (sentimen) ini dijadikan fitnah hingga menjadi budaya serta orang percaya.

“Sebahagiannya sudah tengok (dakwaan berkaitan Islam tergugat) tak jadi. Pelajar tidak pakai skirt pun sekarang. Jadi saya ingat itu mengubah (penerimaan orang ramai).

“Ada orang yang dulunya kata baik dengan PH tetapi percaya pada tohmahan yang kita akan menjadi alat kepada DAP untuk menentang Islam jadi sekarang terbukti tidak,” katanya ketika ditemui selepas beramah mesra bersama masyarakat Sungai Bakap di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Pendidikan merangkap Ketua Wanita PKR, Fadhlina Sidek.

Sementara itu, Anwar menempelak tindakan PN terus menggunakan slogan ‘Bersih’ sedangkan gabungan itu terpalit dengan pelbagai skandal rasuah membabitkan nilai yang sangat besar.

“Dia (PN) kata ‘Bersih’ itu tiada sebab. Seperti kita ketahui, kenyataan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) (membabitkan) menantu kepada calon Perdana Menteri mereka pun sudah lari.

“Mana boleh, kalau ada bukti, siasat dan dakwa. Kalau dia rasa tak bersalah, dia pertahankanlah. Lari bukan contoh yang baik.

“Kamu kena jagalah kerana jumlah (kes) yang dikaitkan dengan rasuah itu banyak. Jadi soal bersih, PN tak boleh guna bersih kerana mereka terlalu terpalit dengan (skandal) rasuah besar,” kata Ahli Parlimen Tambun itu.

– Berita Harian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427