KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata semua menteri dari UMNO akan terus kekal berada dalam Kabinet hasil kesepakatan yang dicapai.
Perdana Menteri berkata, dengan kesepakatan itu, Kabinet akan berfungsi seperti biasa dan segala inisiatif kerajaan akan terus dilaksanakan seperti yang dirancang.
“Menteri-menteri dari UMNO menemui saya pada Isnin lalu. Mereka meminta nasihat saya mengenai kedudukan mereka di dalam Kabinet, berikutan keputusan Perhimpunan Agung UMNO bahawa parti itu akan memutuskan hubungan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
“Saya menasihati mereka supaya terus kekal berada di dalam kabinet. Ini mengambil kira kepentingan rakyat dan negara.
“Alhamdulillah, atas nasihat yang saya berikan, kesepakatan dicapai bahawa semua Menteri UMNO akan terus kekal berada di dalam Kabinet,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. -BERITA HARIAN