Sembunyi anak tiri dalam but kereta untuk rentas daerah

Estimate Reading Time: < 1 minute

BUTTERWORTH: Tindakan wanita ‘menyembunyikan’ anak tirinya di dalam but kereta dengan harapan dapat merentas daerah semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak berhasil selepas ditahan polis di sini semalam.

Kereta jenis Proton Waja yang dipandu wanita berusia 40-an itu ditahan ketika cuba melintasi sekatan jalan raya (SJR) di Kilometer 2.4 Lebuh Raya Butterworth-Kulim (BKE) dekat Seberang Jaya, di sini kira-kira pukul 5 petang.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd. Samad berkata, wanita itu memandu dari arah Butterworth menuju ke Seberang Jaya bersama seorang lagi remaja lelaki yang berada di tempat duduk penumpang hadapan.

Ketika melalui SJR itu ujar beliau, wanita berkenaan memberitahu dalam perjalanan ke ke sebuah pasar raya di Seberang Jaya untuk membeli pakaian.

“Bagaimanapun, anggota kita meminta wanita itu berhenti di bahu jalan untuk pemeriksaan lanjut dan ketika but kereta dibuka, seorang lelaki berusia 14 tahun yang merupakan anak tirinya ditemukan sedang menyorok di dalamnya,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dalam pada itu, kejadian tersebut dengan gambar seorang remaja lelaki sedang berbaring di dalam but kereta berkenaan turut menjadi tular dalam media sosial hari ini.

Menurut Shafee, polis telah mengeluarkan kompaun ke atas wanita itu kerana gagal mengemukakan permit pergerakan selain nasihat kepada dua lelaki kerana masih di bawah umur.

“Kereta terbabit turut diarah berpatah balik selepas kompaun diberikan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427