Seludup 190.9kg ganja di pagi Aidilfitri

Estimate Reading Time: 2 minutes

Kangar: Enam individu termasuk seorang wanita ditahan selepas polis menjumpai 190.9 kilogram (kg) ganja bernilai RM477,250 dalam bot di sebuah jeti haram di Kuala Perlis, di sini, Khamis lalu.

Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad berkata, penahanan suspek termasuk ketua sindiket berkenaan dilakukan selepas rondaan mengesan bot jenis fiber ditinggalkan dalam keadaan mencurigakan di jeti haram di Kuala Perlis pada awal pagi Aidilfitri lalu.

“Pemeriksaan tidak menemui sesiapa berhampiran bot berkenaan namun apabila diteliti, polis menjumpai 190.9 kg ganja yang tersembunyi di bahagian dalaman bot berkenaan.

“Siasatan dan risikan membawa polis ke sebuah rumah di Kuala Perlis dan Simpang Empat pada lewat petang dan malam Sabtu lalu yang mana tiga individu termasuk seorang wanita dan ketua sindiket ditahan.

“Polis kemudian menahan tiga lagi lelaki di Langkawi dan Kuala Perlis pada keesokannya kerana dipercayai mempunyai kaitan dengan tiga anggota sindiket yang ditahan dan kesemua yang ditahan adalah berusia antara 20 hingga 40 tahun,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis, di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Perlis, Superintendan Chan Ngai Ho.

Surina berkata, siasatan awal mendapati kebanyakan anggota sindiket itu bekerja sebagai nelayan dan mereka ditugaskan membawa masuk bekalan ganja dari Thailand menggunakan laluan laut di sekitar perairan Kuala Perlis.

“Bekalan ganja ini untuk pasaran Pulau Pinang dan berdasarkan siasatan awal, mereka mengaku sudah dua atau tiga kali berulang-alik masuk dari Thailand sepanjang tahun ini dengan membawa bekalan dadah ke negara ini.

“Nelayan yang berkhidmat dalam sindiket ini juga dibayar ribuan ringgit untuk melaksanakan tugas berkenaan dan kita dapati anggota sindiket ini lengkap dengan peranan masing yang mana ada berperanan menyeludup masuk dadah, meninjau rondaan polis, serta membawa dadah ke Pulau Pinang,” katanya.

Surina berkata, anggota sindiket ini menyangka bahawa polis tidak begitu mengetatkan kawalan dan tugasan semasa perayaan Aidilfitri menyebabkan mereka secara berani melakukan jenayah berkenaan pada hari pertama perayaan itu.

“Namun mereka silap kerana kita tidak pernah berhenti daripada menjalankan tugas dan setiap penugasan kita adalah 24 jam dan tujuh hari seminggu.

“Ujian saringan awal air kencing pada suspek juga mendapati lima daripada enam enam suspek termasuk suspek wanita didapati positif dadah jenis methamphetamine.

“Selain itu juga, lima suspek itu juga didapati mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan dadah dan pelbagai jenayah lain,” katanya.

Beliau berkata, suspek pada tangkapan pertama itu direman sehingga Jumaat manakala bakinya pula direman sehingga esok.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang sabit kesalahan boleh membawa hukuman mati mandatori.-METRO

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427