Selangor digesa beri air percuma sepanjang PKP

Estimate Reading Time: 2 minutes

PETALING JAYA: Kerajaan Selangor digesa agar dapat mempertimbangkan pembatalan bil dan memberi air secara percuma kepada golongan berpendapatan rendah (B40) dan berpendapatan sederhana (M40) sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan di negeri.

Penaung Persatuan Peniaga Pasar Malam Bumiputra Petaling Jaya, Dazma Shah Daud berkata, gesaan itu adalah wajar berikutan kebanyakan rakyat terutamanya golongan B40 dan M40 selama ini terbeban dengan kos sara hidup akibat penularan pandemik koronavirus (Covid-19).

Beliau berkata, sepanjang PKP, kebanyakan rakyat tidak dapat keluar untuk mencari rezeki dan pemberian air percuma dalam tempoh itu dapat membantu meringankan bebanan ditanggung mereka.

“Pasca PKP juga menyaksikan ramai rakyat khususnya peniaga terpaksa bertungkus-lumus untuk membina semula kehidupan mereka.

“Disebabkan itulah, saya berharap agar kerajaan negeri dapat mempertimbangkan untuk memberi air percuma kepada seluruh rakyat sepanjang PKP ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Sebelum ini, ramai pengguna air sekitar Selangor mengeluh dan meluahkan rasa terkejut apabila mendapati bil diterima mereka pada bulan Mei agak tinggi berbanding bulan-bulan sebelumnya.

Difahamkan kenaikan berkali ganda itu menyebabkan ramai pihak mempertikaikan jumlah bayaran bulanan yang harus dilunaskan memandangkan mereka mendakwa kadar penggunaan air sebelum ini agak berhemah.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menerusi satu kenyataan sebelum ini turut memaklumkan bahawa bermula 18 Mac sehingga 30 April lalu, pihaknya tidak membuat bacaan meter namun hanya mengeluarkan bil anggaran berdasarkan kepada maklumat purata penggunaan harian pada bulan sebelumnya.

Katanya, pembacaan meter mula dilaksanakan semula sejak 2 Mei lalu dan bil pada bulan Mac akan diselaraskan melalui bil bulan April serta Mei 2020 berdasarkan kepada bacaan sebenar meter di premis pelanggan.

Mengulas lanjut, Dazma berkata, sekiranya kerajaan negeri tidak dapat memberi air percuma dalam tempoh PKP tersebut, pihaknya mencadangkan agar potongan 50 peratus diberikan kepada kepada setiap pelanggan Air Selangor.

“Kita faham banyak pihak terkesan sejak pelaksanaan PKP ini dan oleh itu saya mohon keprihatinan kerajaan negeri untuk membantu rakyat yang terkesan.

“Insya-ALLAH jika Air Selangor mampu melakukan tanggungjawab sosial korporat seumpama ini, saya percaya rakyat akan gembira,” katanya.

-SH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427