‘Selamat berehat Kak Ana, moga bertemu di syurga’

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Allahyarham Rohana Jalil, 68, menghembuskan nafas terakhir sebaik majlis bacaan Yasin selesai dilakukan oleh keluarga dan rakan-rakannya secara virtual, semalam.

Penyanyi dan penyampai radio Buletin FM, Haiza menerusi Instagram (IG) terkejut menerima berita duka itu.

“Selamat berehat Kak Ana. Allah lebih sayangkan Kak Ana.

“Allah permudahkan segala urusan. Selepas bacaan Yasin malam tadi untuk Kak Ana, kami dikejutkan dengan pemergian akak.

“Bila akak bertarung dengan sakit yang akak lalui sebenarnya Allah nak angkat darjat akak. Moga bertemu di syurga kak. Al-Fatihah DARA JALIL.

“Haiza sayang Kak Ana,” tulisnya dalam IG.

Haiza menitipkan ucapan takziah buat keluarga arwah Rohana menerusi hantaran sama.

Terdahulu, Allahyarham Rohana atau nama sebenar, Dara Abdul Jalil meninggal dunia di HCTM UKM, pada jam 11.34 malam tadi, selepas dua bulan dirawat akibat kebocoran usus.

Khabar duka itu disahkan pengurusnya yang dikenali sebagai Jepun kepada BH Online, malam tadi.

Allahyarham Rohana dilaporkan tidak sedarkan diri sejak tengah hari semalam dan doktor meminta semua ahli keluarga berkumpul di hospital sejak jam 5 petang.

Jenazah Allahyarham Rohana akan dibawa ke Masjid Al-Falah, USJ9, Subang Jaya untuk urusan solat jenazah dan dijangka dikebumikan selepas solat Zohor, hari ini.

Allahyarham mendirikan rumah tangga Jahangir Khan pada 1984 dan dikurniakan tiga cahaya mata perempuan, Rosella, Shakira Idora dan Syakila Nisa atau Kilafairy.

– BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427