Sekutu Jho Low diperintah bayar cukai hampir RM68 juta

Estimate Reading Time: 2 minutes

Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan Eric Tan Kim Loong yang didakwa sebagai sekutu ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low, membayar cukai pendapatan RM67,996,891.87 kepada Kerajaan Malaysia selepas gagal memasukkan kehadiran dalam saman difailkan kerajaan melalui Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Perintah itu dikeluarkan Timbalan Pendaftar Farah Shuhada Ramli semasa pengurusan kes di hadapannya.

Berdasarkan semakan dalam sistem mahkamah (e-filing), Tan juga diperintah membayar faedah pada kadar lima peratus setahun dari tarikh penghakiman sehingga tarikh realisasi dan kos sebanyak RM2,000 kepada kerajaan selaku plaintif.

Menurut perakuan ketidakhadiran difailkan LHDN pada 6 April 2021, suatu afidavit penyampaian writ saman dan penyataan tuntutan bertarikh 15 Januari lalu kepada Tan telah diserahkan secara penyampaian ganti melalui pengiklanan di akhbar Berita Harian pada 30 Mac 2021 dan penampalan di premis beralamat di Taman Pusat Kepong di sini, pada 29 Mac 2021.

“Maka dengan ini diperakui bahawa tiada kehadiran telah dimasukkan untuk Tan,” menurut perakuan kehadiran itu.

Kerajaan Malaysia selaku plaintif memfailkan writ saman dan pernyataan tuntutan melalui LHDN pada 15 Januari lepas di Mahkamah Tinggi di sini dengan menamakan Tan, 43, sebagai defendan menuntutnya membayar tunggakan cukai berjumlah RM67,996,891.87 bagi tahun taksiran 2010 hingga 2013.

Mengikut penyataan tuntutan itu, Kerajaan Malaysia mendakwa bagi tahun-tahun taksiran 2010, 2011, 2012 dan 2013, defendan telah ditaksirkan dengan cukai pendapatan berjumlah RM2,706,803.84, RM22,090,949.92, RM35,479,911.48 dan RM1,538,473.04 melalui Notis-notis Taksiran masing-masing bertarikh 30 September 2020.

Plaintif mendakwa Notis-notis Taksiran itu telah dihantar secara pos berdaftar kepada defendan pada 24 November 2020 ke alamat terakhirnya di Taman Pusat Kepong, di sini yang diketahui oleh plaintif pada masa itu, namun notis berkenaan tidak pernah dikembalikan kepada plaintif.

Menurut plaintif, seterusnya lebihan kredit sebanyak RM782.02 telah digunakan dan ditolak sebagai sebahagian bayaran cukai pendapatan bagi Tahun Taksiran 2010 itu, meninggalkan baki yang masih terhutang dan perlu dibayar sebanyak RM2,706,021.82 bagi tahun taksiran berkenaan.

“Oleh kerana defendan gagal untuk membayar jumlah cukai sebanyak RM2,706,021.82, RM22,090,949.92, RM35,479,911.48 dan RM1,538,473.04 dalam tempoh 30 hari daripada tarikh penyampaian Notis-notis Taksiran itu kepadanya (defendan), seperti ditetapkan di bawah Seksyen 103 Akta Cukai Pendapatan 1967, kenaikan cukai sebanyak 10 peratus masing-masing berjumlah RM270,602.18, RM2,209,094.99, RM3,547,991.14 dan RM153,847.30 telah dikenakan dan ditambah ke atas keseluruhan cukai pendapatan bagi Tahun-tahun Taksiran 2010 sehingga 2013 yang masih belum dibayar,” menurut plaintif dalam pernyataan tuntutannya.

Plaintif mendakwa sehingga kini defendan masih gagal membayar kepadanya amaun cukai pendapatan defendan yang masih terhutang dan perlu dibayar bagi Tahun-tahun Taksiran 2010 sehingga 2013 termasuk kenaikan-kenaikan yang dikenakan ke atasnya, kesemuanya berjumlah RM67,996.891.87.

Oleh itu, plaintif menuntut defendan membayar RM67,996.891.87, faedah lima peratus setahun dari tarikh penghakiman sehingga tarikh realisasi, kos dan lain-lain relif yang disifatkan sesuai oleh mahkamah.

Media sebelum ini melaporkan Tan merupakan sekutu rapat Jho Low dan turut terbabit dalam transaksi berbilion ringgit dalam skandal 1Malaysia Development Berhad.-METRO

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427