PETALING JAYA: Persatuan pelancongan dan hospitaliti yang berasa lega dengan bantuan pakej rangsangan ekonomi Prihatin berkata, ia akan meringankan beban syarikat dalam pembayaran gaji semasa tempoh yang mencabar sekarang.
“Sebarang bantuan adalah kelegaan bagi kami kerana kami masih menderita. Sempadan masih ditutup terhadap pelancong luar negara dan ia menjejaskan jualan kami,” kata presiden Persatuan Majikan Hotel Christopher Raj.
Raj berkata, pakej subsidi gaji bawah Kita Prihatin akan membantu dalam pembayaran gaji, manakala hasil yang dijana daripada pelancong tempatan akan menampung kos operasi harian.
Beliau berkata, kadar diskaun ditawarkan untuk menarik pelawat domestik.
Katanya, hotel dan tempat percutian di Pulau Pinang, Langkawi dan Pangkor mencapai 50% sehingga 90% kapasiti semasa hujung minggu, tetapi pada hari kerja, kadar penghunian adalah rendah kerana orang bekerja.
“Walaupun perniagaan meningkat semasa hujung minggu, tetapi harga yang ditawarkan agak rendah, jadi program subsidi gaji memberi bantuan yang besar,” kata beliau.
Di bawah pakej Kita Prihatin, subsidi gaji akan diberikan selama 3 bulan pada kadar RM600 sebulan kepada setiap pekerja, dengan maksimum 200 pekerja dalam satu-satu syarikat.
Program tersebut terbuka kepada syarikat yang berdaftar dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Sosco) sebelum 31 Ogos.
Pemohon baru yang masih belum menerima subsidi juga layak dan akan menerima subsidi itu sehingga 6 bulan.
Ketua pegawai eksekutif Persatuan Hotel Malaysia Yap Lip Seng berkata, inisiatif khas di bawah pakej rangsangan baru menunjukkan keperluan untuk membantu industri yang banyak terjejas, terutamanya pelancongan dan hospitaliti.
“Kerajaan mengaku bahawa industri pelancongan tidak boleh bertahan dengan sendirinya memandangkan sekatan sempadan dilanjutkan dan ketidaktengtuan berikutan penularan Covid-19,” kata beliau.
Yap berkata, walaupun industri tersebut memohon lebih banyak bantuan, termasuk subsidi gaji lebih tinggi, diskaun utiliti dan geran khas, ia menghargai keputusan kerajaan untuk melanjutkan program subsidi gaji dan melonggarkan syarat pendaftaran Sosco.
Presiden Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) Tan Kok Liang berkata, lanjutan program subsidi gaji dari Oktober hingga Disember adalah kelegaan jangka pendek kepada industri hospitaliti.
“Semasa industri masih menderita, subsidi itu akan membantu kami untuk mengekalkan pekerja kami dan membayar gaji mereka,” kata beliau.
Tan juga berkata pengendali menyaksikan pertambahan sedikit pelancongan tempatan di tempat percutian tepi pantai dan resort pendakian.
“Barangkali semasa tempoh perintah kawalan pergerakan, mereka terkurung terlalu lama dan sekarang sedang menikmati ruang terbuka dan kehijauan,” kata beliau. -BERNAMA