Sekolah dilanda ribut diselenggara segera

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Sebanyak 10 sekolah dalam Parlimen Titiwangsa yang terjejas teruk akibat kejadian ribut semalam, akan diselenggara dengan kadar segera.

Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Rina Harun, berkata penyelenggaraan perlu disegerakan bagi memastikan proses pengajaran dan pembelajaran tidak terjejas.

“Saya sudah berhubung dengan Menteri Pendidikan (Datuk Dr Radzi Jidin) semalam dan beliau mengarahkan proses penyelenggaraan dan baik pulih disegerakan,” katanya ketika meninjau keadaan sekolah terbabit, hari ini.

Dalam kejadian ribut lewat petang semalam, enam sekolah rendah dan empat sekolah menengah dalam Parlimen Titiwangsa rosak teruk apabila bumbung di beberapa bangunan membabitkan kelas dan makmal komputer diterbangkan angin kencang.

Sekolah menengah terbabit ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Maluri, SMK Datuk Lokman, SMK St Gabriel dan SMK Cochrane.

Sekolah rendah ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Puteri Pandan 1, SK Puteri Pandan 2, SK St Gabriel, SK Taman Maluri, SK Cochrane Perkasa dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Tsun Jin.

Rina yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, bahagian aset Kementerian Pendidikan sudah ke sekolah terbabit bagi menilai kerosakan untuk menentukan kos baik pulih dan penyelenggaraan.

Setakat ini, katanya, tiada penangguhan sesi pembelajaran kerana murid dipindahkan ke kelas khas mengikut prosedur operasi standard ditetapkan.–BERNAMA

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427