PORT DICKSON: Dalam usaha mengelak kesesakan ibu bapa sambil menjaga penjarakan fizikal untuk mencegah penularan pandemik COVID-19, pendaftaran murid Tahun Satu di sini, dilaksanakan secara pandu lalu.
Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Lukut, Safinaz Nordin, berkata tahun ini seramai 252 murid mendaftar masuk ke sekolah itu, berbanding 200 tahun lalu.
“Susulan pertambahan murid hampir 25 peratus, kami kini perlu menyediakan tujuh kelas untuk tahun ini dan ia satu peningkatan drastik.
“Dalam keadaan pandemik COVID-19 ini, kami berbincang dengan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) bagi meneruskan program pendaftaran selepas pengumuman Negeri Sembilan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sebelum memutuskan pelaksanaan pendaftaran secara pandu lalu,” katanya ketika ditemui di sini.
Safinaz berkata, walaupun pada mulanya kelihatan berlaku kesesakan kereta dan motosikal tetapi ia dapat dilaksanakan mengikut jadual dan proses itu lebih cepat.
“Kami mengadakan dua sesi pendaftaran iaitu mulai jam 8 hingga 10.30 pagi dan 10.30 pagi hingga 12.30 tengahari mengikut kelas murid yang sudah disusun lebih awal.
“Jumlah keseluruhan murid sekolah ini ialah seramai 1,246 orang dan dijangka akan ada pertambahan. Jumlah guru buat masa sekarang ada 78 orang yang sedia menjalankan tugas yang diamanahkan mendidik terutama tahun satu yang ramai ini.
“Terima kasih kepada Kementerian Pendidikan (KPM) yang memberi penambahan 100 set kerusi dan meja untuk kegunaan murid tahun ini,” katanya.
Safinaz berterima kasih kepada ibu bapa yang sangat berdisiplin sepanjang menunggu giliran untuk mendaftar secara pandu lalu hari ini.
“Ibu bapa yang membeli fail dan peralatan di sekolah di kedai buku juga menunjukkan sikap toleransi yang sangat tinggi dengan mengamalkan norma baharu dan mengikut SOP.
“Bezanya kalau kebiasaan ada sesi taklimat tetapi tahun ini kita hanya menyampaikan semua maklumat itu melalui kumpulan WhatsApp kelas anak-anak atau pun melalui kumpulan WhatsApp PIBG SK Lukut.
“Kita harap keadaan (Covid-19) akan kembali reda tahun ini dan murid-murid dapat belajar seperti biasa, namun kita bersedia menghadapi cabaran ini dengan mematuhi SOP ditetapkan kerajaan,” katanya.
-BH