Sekolah banjir: JPNT sedia 5 dewan peperiksaan SPM gantian

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA TERENGGANU: Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) menyediakan lima dewan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 gantian jika sekolah yang dijadikan pusat itu ditenggelami banjir.

Pengarah, Jelani Sulong, berkata Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Air Putih dan SMK Mak Lagam di Kemaman antara lima sekolah yang dijadikan pusat peperiksaan SPM dikenal pasti mudah ditenggelami banjir.

Katanya, turut dikenal pasti mudah dinaiki air adalah SMK Tengku Ampuan Afzan, Sekolah Menengah Agama (SMA) Mahmudiah dan Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu di Hulu Terengganu.
“Calon SPM yang menduduki peperiksaan di sekolah itu akan dipindahkan ke pusat berhampiran jika lokasi berkenaan ditenggelami banjir.

“Kita juga sudah mengenal pasti laluan ke pusat peperiksaan SPM yang mudah ditenggelami air dan calon akan ditempatkan di asrama sekolah,” katanya ketika ditemui di JPNT, hari ini.

Jelani mengulas persiapan JPNT bagi menghadapi peperiksaan SPM 2024 pada Monsun Timur Laut (MTL).

Peperiksaan SPM 2024 membabitkan seramai 18,907 termasuk calon daripada sekolah di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) akan bermula pada 2 Disember hingga 6 Februari depan di 166 pusat peperiksaan di seluruh negeri.

Mengulas lanjut, Jelani berkata, seramai 1,684 pengawas peperiksaan dilantik bagi memastikan kelancaran pengurusan dan pengendalian peperiksaan tahun ini.

Katanya, JPNT dengan kerjasama Kementerian Kesihatan (KKM) turut menyediakan enam hospital sebagai pusat peperiksaan SPM tahun ini.

“JPNT juga sentiasa berkolaborasi dengan agensi kerajaan lain untuk membawa calon SPM ke pusat peperiksaan yang terkandas disebabkan laluan ditenggelami air.

“Pengetua sekolah menengah akan menghubungi calon peperiksaan SPM jika laluan ke pusat peperiksaan ditenggelami air,” katanya.
-BeritaHarian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427