Sejuta kematian akibat COVID-19 pada 2022 – WHO

Estimate Reading Time: 2 minutes

GENEVA: Sejuta kematian akibat COVID-19 direkodkan tahun ini yang disifatkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai “pencapaian tragis” ketika semua alat wujud untuk mencegah kematian.

Hampir 6.45 juta kematian dilaporkan kepada WHO sejak virus itu mula dikesan di China pada akhir 2019.

Bagaimanapun Ketua WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus mempersoalkan sama ada dunia benar-benar berupaya menangani pandemik ketika ini.

“Minggu ini, kami melepasi peristiwa tragis satu juta kematian yang dilaporkan setakat tahun ini,” katanya pada sidang media.

“Kita tidak boleh mengatakan bahawa kita sedang belajar untuk hidup dengan COVID-19 apabila satu juta orang meninggal dunia akibat COVID-19 pada tahun ini sahaja, apabila kita sudah dua setengah tahun dalam pandemik dan mempunyai semua alat yang diperlukan untuk mencegah kematian.

“Kami meminta semua negara memperkukuh usaha mereka untuk memberi vaksin kepada semua pekerja kesihatan, warga emas dan golongan berisiko tinggi, dalam perjalanan ke 70 peratus perlindungan vaksin untuk seluruh penduduk.”

Sebelum ini Tedros menggesa semua negara memastikan 70 peratus populasi divaksin menjelang akhir Jun. Tetapi 136 negara gagal mencapai sasaran, yang mana 66 masih mempunyai liputan di bawah 40 peratus.

Beliau berkata hanya 10 negara mempunyai liputan kurang 10 peratus, yang kebanyakannya berdepan kecemasan kemanusiaan.

“Bagaimanapun, banyak lagi yang perlu dilakukan,” kata Tedros.

“Satu pertiga daripada penduduk dunia masih tidak divaksinasi, termasuk dua pertiga pekerja kesihatan dan tiga perempat daripada orang dewasa yang lebih tua di negara berpendapatan rendah.

“Semua negara di semua peringkat pendapatan mesti melakukan lebih banyak untuk memberi vaksin kepada mereka yang paling berisiko, untuk memastikan akses kepada terapeutik yang menyelamatkan nyawa, untuk meneruskan ujian dan penjujukan, dan untuk menetapkan dasar yang disesuaikan dan berkadar untuk mengehadkan penularan dan menyelamatkan nyawa.”

Pemangku Pengarah Urusan Pejabat COVAX Pakatan Vaksin Global (GAVI), Derrick Sim, berkata sejuta kematian pada 2022 adalah angka terlalu banyak.

“Di sebalik setiap statistik adalah tragedi manusia yang sangat nyata, dan ketika dunia berurusan dengan keutamaan yang bersaing, kita tidak boleh mati rasa dengan kesan wabak yang dialami individu, keluarga dan masyarakat,” katanya.

Lebih 593 juta kes kini dilaporkan kepada agensi kesihatan PBB. Walaupun kadar ujian telah menurun secara mendadak di banyak negara, kira-kira separuh daripada kes berkenaan dilaporkan tahun ini.

Varian Omicron menyumbang 99 peratus daripada sampel virus yang dikumpul dalam 30 hari terakhir yang telah disusun dan dimuat naik ke inisiatif sains global GISAID.

Daripada jumlah itu, kumpulan BA.5 sub-varian Omicron kekal dominan di peringkat global pada kadar 74 peratus. – AFP

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427