Sedekah, biaya tiket bas dan ole-ole kepada pengundi adalah salah – Azam Baki

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Pemberian wang kononnya sebagai sedekah, bayar tiket bas atau memberi ole-ole ketika musim pilihan raya adalah menyalahi undang-undang Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 kerana boleh mempengaruhi pengundi untuk memenangkan calon terbabit.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki, berkata pengundi perlu mengetahui hak dan mempunyai tanggungjawab untuk balik mengundi tanpa mengharap ada pihaknya yang membayar tiket pulang mereka.

Menurutnya, beri alasan tidak mahu pulang mengundi jika tidak dibayar tiket pulang sebenarnya tidak boleh kerana ia adalah tanggungjawab dan hak mereka untuk mengundi dengan tidak dipengaruhi mana-mana calon.

“Hak kita untuk mengundi dan jika dibayar ia menyalahi undang-undang kerana tiada ketelusan dalam pilihan raya itu.

“Malah menjanjikan apa-apa jawatan pun untuk mengundi juga tidak boleh kerana apa jadi jika semua orang diberi duit sudah tentu boleh memenangkan seseorang calon itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu rancangan Tamu Kito di platform media sosial Facebook NEGERIfm Official hari ini.

Azam berkata, calon atau ejennya juga tidak boleh menghantar pengundi kerana itu dinamakan perkhidmatan di mana ramai yang melakukan perkara itu.

“Hati-hati jika melakukan kesalahan itu kerana tukang mengadu ramai dan boleh membatalkan kemenangan mereka jika terbukti.

“Malah jika semua calon ingin menyediakan bas apa akan jadi ketika pengundi berada di dalamnya…kita tidak tahu apa terjadi dalamnya dan boleh mempengaruhi pengundi untuk mengundi seseorang,” katanya.

Beliau berkata, jangan salahkan SPRM jika tindakan diambil kerana pihaknya hanya menguatkuasa undang-undang sedia ada.

“Kita ini hendak memangkah, pilihlah ketua yang bebas unsur terbabit di mana jangan jadi satu komuniti korup. Apabila pemikiran jadim korup maka terjadilah memilih pemimpin yang korup.

“Nasihat saya kepada pengundi, jika ada tawaran untuk diberi apa-apa sebagai imbuhan mengundi seseorang sila lapor kepada SPRM bagi mewujudkan satu budaya yang sihat,” katanya.

Tambahnya, pengundi perlu menanam sikap benci rasuah dan jangan menjadikan negara ini hiruk pikuk dengan masalah rasuah terutama dalam kalangan mereka yang ada kuasa.

– BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427