PETALING JAYA: Timbalan Presiden MIC M Saravanan nafi menyalahgunakan kedudukannya atau melakukan sebarang kesalahan apabila hadir di Kuil Murugan di Batu Caves, sempena sambutan Thaipusam, meskipun bawah penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan (PKP).
Video ketibaan Saravanan untuk menunaikan sembahyang di kuil itu, dengan disambut pengurusan Kuil Murugan tular sejak semalam.
Ia mencetuskan persoalan “dua darjat” iaitu sama ada beliau diberi layanan khas kerana kedudukannya sebagai menteri ketika orang “biasa” terpaksa bersembahyang dan menunaikan nazar di rumah sempena Thaipusam tahun ini.
Saravanan berkata, beliau hadir di kuil itu semalam atas jemputan pihak kuil dan segala SOP bersabit lawatan itu dipatuhi.
“Saya dijemput oleh pihak Sri Mahamariamman Devasthanam, (badan yang bertanggungjawab ke atas kuil Kuil Murugan).
“Ini kerana saya membantu kuil berkenaan sejak minggu lalu dalam memastikan Thaipusam disambut dengan jumlah pengunjung minimum,” kata beliau kepada FMT.
Menteri Sumber Manusia itu nafi menggunakan kedudukannya untuk melanggar sebarang undang-undang apabila hadir di kuil itu sempena Thaipusam.
“Saya diberikan kebenaran oleh polis untuk hadir. Semua mereka yang hadir mematuhi SOP Covid-19 yang ketat dan jumlah kehadiran adalah minimum, selaras panduan jawatankuasa kuil.
“Keseluruhan (lawatan) itu juga dipantau oleh pihak berkuatkuasa,” kata beliau.
Saravanan berkata, pegawai beliau juga diminta tidak mengiringinya ke kuil itu untuk memastikan tidak berlaku sebarang kesesakan.
Ditanya kenapa tidak memakai pelitup muka sejurus tiba di kuil itu, Saravanan membayangkan perkara itu bukan satu isu.
“Saya menanggalkan pelitup muka itu hanya seketika untuk menerima kalungan bunga sebagai tanda hormat (kepada pengurusan kuil).
“Selepas itu, saya memakai pelitup muka sepanjang masa,” katanya.
-FMT