Satu pertiga rakyat Malaysia menyimpan lebih RM500 sebulan

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia membuat simpanan lebih tinggi melebihi RM500 sebulan pasca pandemik, trend perubahan secara berperingkat untuk mencapai kesaksamaan kewangan.

Ketua Pegawai Eksekutif RinggitPlus, Yuen Tuck Siew, berkata berdasarkan Tinjauan Celik Kewangan Malaysia (RMFLS) 2024, sebanyak 33 peratus rakyat Malaysia menyimpan lebih RM500 setiap bulan, meningkat beransur-ansur berbanding 29 peratus pada 2023.

“Buat kali pertama sejak COVID-19, tiga metrik utama dalam RMFLS menyaksikan trend yang positif. Yang pertama ialah rakyat Malaysia mula menyimpan lebih banyak pada setiap bulan.

“Kedua, sebanyak 39 peratus responden menyatakan mereka boleh bertahan selama empat bulan atau lebih sekiranya berlaku kehilangan pendapatan, meningkat daripada 33 peratus tahun lalu.

“Akhir sekali, sebanyak 47 peratus rakyat Malaysia melaporkan keadaan kewangan yang lebih baik berbanding dengan tahun lalu,” katanya kepada media selepas mengumumkan dapatan RMFLS di sini, hari ini.

Tuck Siew berkata, satu lagi sorotan penting ialah bagaimana wanita di negara ini menjadi kurang mudah terjejas dari segi kewangan, menunjukkan peningkatan secara tahunan dalam pelbagai metrik penting.

Katanya, ia merangkumi peningkatan tiga peratus dalam kalangan wanita yang menyimpan lebih RM500 sebulan dan peningkatan lapan peratus dalam kalangan responden wanita yang boleh bertahan tanpa pekerjaan selama empat bulan atau lebih.

“Selain itu, penurunan tiga peratus dalam responden wanita yang hidup dari gaji ke gaji, dan peningkatan enam peratus perancangan kewangan untuk persaraan.

“Walaupun secara beransur-ansur, semua ini merupakan penunjuk perubahan yang menggalakkan, namun lebih banyak usaha diperlukan untuk mengekalkan trend ini dan mencapai kesaksamaan kewangan yang lebih besar antara wanita dengan lelaki di Malaysia,” katanya.

Beliau mendedahkan, tinjauan itu juga menemukan dapatan bahawa ramai yang mengamalkan tabiat kewangan bertanggungjawab, mengurangkan perbelanjaan dan memulakan perancangan persaraan.

“Pengeluaran daripada Akaun Fleksibel Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) adalah untuk keperluan penting, seperti membayar balik hutang dan menguruskan kos sara hidup,” katanya.

Berdasarkan laporan RMFLS, sejumlah 55 peratus responden tetap berasa bimbang atau kecewa terhadap kewangan mereka, sekali gus menekankan keperluan untuk disiplin kewangan yang berterusan.

Selain itu, laporan berkenaan menyebut, tahun ini, lebih satu pertiga daripada rakyat Malaysia (38 peratus) dilaporkan mengalami cubaan penipuan kewangan, dengan jumlah keseluruhan mereka yang mengalami cubaan sedemikian berkurang kepada 86 peratus daripada 94 peratus.

Perkembangan itu menandakan peningkatan yang ketara, membuktikan bahawa usaha kesedaran antipenipuan yang dipacu oleh badan-badan kerajaan Malaysia sedang membuahkan hasil.

“Malah, 56 peratus responden memuji kempen kesedaran Jangan Kena Scam yang dijalankan di seluruh negara kerana membantu mereka mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan kewangan.

“Walaupun situasi ini merupakan langkah yang positif dalam hala tuju yang betul, lebih banyak usaha perlu dilakukan untuk melindungi rakyat Malaysia,” kata laporan itu.
-BeritaHarian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427