Sastera perlu keluar daripada kepompong

Estimate Reading Time: 3 minutes

KOTA KINABALU: Sastera perlu keluar daripada kepompong ‘sastera untuk sastera’ sekiranya ingin meletakkan kedudukannya ke tahap lebih tinggi dengan menjadi sebagai sebuah industri setaraf dengan bidang lain di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kajian Pembangunan Sabah, Profesor Madya Datuk Dr Ramzah Dambul, berkata bidang sastera di Malaysia harus mengambil iktibar bagaimana sains dan teknologi berjaya mengorak langkah lebih jauh ke hadapan.

Sedangkan katanya, sejarah peradaban dunia mencatatkan bidang sastera sudah wujud lebih lama sebelum kewujudan sains dan teknologi.

“Sastera sebenarnya bermula lebih baik daripada sains dan teknologi dalam konteks negara kita. Kalau kita melihat kepada sejarah peradaban dan pembangunan tamadun dunia, semua tamadun dunia yang penting seperti Rom, Mesopotamia, China, India malah Islam juga memberi kesan signifikan kepada pembangunan.

“Ia dicirikan oleh persamaan iaitu semua peradaban dunia mempunyai tradisi persuratan sastera. Kita boleh melihat bahawa mana-mana tamadun ini, terdapat naskhah klasik yang mencirikan kepentingannya.

“Sedangkan sains dan teknologi datang kemudian,” katanya ketika menyampaikan ucaptama Hari Sastera ke-19 bertempat di Hotel Promenade, baru-baru ini.

Ramzah berkata, dalam konteks Malaysia katanya sudah ada dasar dan akta berkaitan seni dan sastera dibangunkan lebih awal daripada dasar dan akta berkaitan sains dan teknologi misalnya, Dasar Kebudayaan Kebangsaan 1971.

Malah katanya, sudah ada juga akta khusus berkaitan dengan bahasa, budaya serta sastera yang jauh lebih kuat daripada sains dan teknologi namun sayangnya bidang persuratan dan kesusasteraan masih juga ketinggalan.

Hal ini tegasnya mungkin disebabkan bidang sains dan teknologi tidak bergerak atas dasar ‘sains sekadar untuk sains’, sedangkan hal ini berbeza dengan amalan dunia sastera.

Justeru tegas Ramzah, sastera perlu dibawa keluar daripada kepompongnya.

“Dahulu apabila barisan pembela sains membawa ia keluar dari kepompong dan menjadikan ia dasar untuk mengubah masyarakat, kemiskinan, tata kelola kerajaan dan juga urus tadbir, maka sains semakin mendapat tempat pada masa ini.

“Jika kita melihat semua polisi negara ketika ini, sains adalah komponen utama dan sains bukan lagi satu bidang yang menjadi alat.

“Jadi kita orang sastera ini perlu akui, sastera di Malaysia masih terperangkap dalam sentimen ‘sastera untuk sastera’ iaitu satu gagasan yang dibawa daripada Asas 50. Kita masih lagi bercakap sastera sebagai persuratan, penerbitan, silibus dalam pendidikan, acara dan juga sesi bicara,” katanya.

Hal ini tegas beliau menjadikan sastera jauh dari industri dan ekonomi apatah lagi polisi juga diplomasi.

Tegasnya, perjuangan sastera untuk sastera yang digerakkan Asas 50 kena pada zamannya yang menjadikan ia sebagai advokasi untuk merdeka. Malah hal yang sama turut berlaku dalam gerakan perjuangan kemerdekaan di Indonesia.

Namun sesudah lebih 60 tahun merdeka, penggiat sastera di Malaysia masih lagi berada dalam sentimen serupa menjadikan ia tidak mampu bergerak sebagai industri. Selagi hal itu tidak berlaku, sastera tidak akan berada dalam kepentingan acuan polisi negara.

“Contoh mudah, sekarang isu masalah kesihatan mental sudah dilihat penting selepas peralihan COVID-19. Dalam (industri) sains sudah keluar bermacama-macam jenis teknologi berkaitan kesihatan dan sudah pun ada dana mengusahakannya.

“Tapi mengapa sastera sebagai sebagai terapi dan rawatan dalam kesihatan mental tidak dilihat? Sedangkan ia telah terbukti (keberkesanannya) di negara lain,” katanya.

Dalam masa sama, Ramzah berkata walaupun sastera selalu dilaungkan sebagai alat perpaduan tetapi ia gagal menjambatani hubungan antara Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak dari pelbagai aspek.

Katanya, sastera tidak boleh hanya berkisar kepada Kementerian Pendidikan dan agensi di bawahnya sahaja. Sebaliknya ia perlu merentasi juga misalnya Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN). Sastera perlu digerakkan secara keseluruhan dan tidak terhad.

Malah katanya, usaha itu perlu juga diperkuatkan dengan sikap keterbukaan dalam kalangan penggiat sastera itu sendiri. Hal ini misalnya dibuat dengan kemampuan menerima karya bentuk baharu atau tulisan penulis muda yang berada di luar jalur perdana.

Tambahnya, sastera adalah hasil kehalusan budi yang harus dikekalkan tetapi pada masa sama, idea yang lebih berani dan garang diperlukan.

“Namun kita juga perlu idea yang membumi dengan masyarakat semasa dan menarik untuk diperkatakan oleh masyarakat dari kalangan bukan peminat tegar sastera,” katanya.
-BeritaHarian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427