SUBANG JAYA: Kerajaan menetapkan sasaran sejuta kilometer (km) sebagai indeks prestasi utama (KPI) bagi menilai mutu perkhidmatan pengangkutan awam khususnya Transit Aliran Ringan (LRT) dan Transit Aliran Massa (MRT) dikendalikan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana).
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata sasaran itu bermaksud mengambil kira sejauh mana tren berkenaan mampu bergerak tanpa mengalami sebarang kerosakan mahupun gangguan teknikal.
Beliau berkata, sasaran ditetapkan itu membabitkan semua laluan tren dikendalikan Prasarana dan ia diharap dapat dicapai menjelang suku ketiga 2026.
“Maksudnya, lebih jauh tren itu bergerak tanpa kerosakan dan masalah teknikal, maka itu adalah petanda yang baik. Sasaran sejuta kilometer itu diletakkan, bermakna kita sasar kerosakan hanya berlaku selepas sejuta kilometer perjalanan bagi setiap tren.
“Ketika ini kita mengalami satu situasi tidak begitu memuaskan iaitu untuk Laluan Kelana Jaya, di mana MKBF (kilometer purata antara kegagalan) kita adalah 150,000 km iaitu kerosakan teknikal berlaku dalam kadar 150,000 km perjalanan.
“Ini angka tidak memuaskan dan sebab itu sasaran kita letakkan tinggi. Ini tentu mengambil masa untuk capai,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Berbuka Puasa bersama warga Rapil Rail di sini hari ini.
Beliau berkata, sistem MKBF banyak diguna pakai di negara lain akan menjadi ukuran bagi penilaian Kementerian Pengangkutan (MOT) terhadap kemudahan pengangkutan dikendalikan Prasarana dan laporannya akan didedahkan kepada umum mulai bulan depan.
“Bermula Mei, laporan ini akan didedahkan secara terbuka. MKBF akan dilaporkan setiap bulan, manakala laporan lain akan dinyatakan secara terbuka setiap minggu antaranya dari segi penyelenggaraan fasiliti dan juga keadaan kemudahan pengangkutan tren kita.
“Laporan ini biasa dilaporkan kepada MOT dalam mesyuarat pasca Kabinet setiap Rabu, tetapi saya sudah minta bukan saja kepada MOT tapi kepada umum, iaitu Prasarana kena kemas kini dalam Facebook mereka.
“Ini satu pendekatan tak pernah dilaksanakan sebelum ini. Kita mahu ke arah perkhidmatan lebih telus. Kita akan laporkan setiap minggu semua laluan tren kita,” katanya.
Sebelum ini, MOT menetapkan KPI kepada pengurusan Prasarana bagi menaik taraf sistem pengangkutan awam negara, dengan agensi itu diwajibkan membentangkan laporan mereka setiap minggu membabitkan perkhidmatan tren, bas, lif dan eskalator yang sudah dibaiki dan alami kerosakan. – Berita Harian