Samun bersenjata: Banduan dipenjara 44 bulan, dua sebatan

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR- Padah melakukan samun menggunakan pisau pemotong daging, seorang lelaki yang sedang menjalani hukuman penjara, hari ini dijatuhi hukuman penjara 44 bulan dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini.

Hakim Emilia Kaswati Mohamad Khalid menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh Yap Zheng Ying, 21, mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan melakukan samun ke atas pembantu kedai berusia 28 dan 22 tahun menggunakan sebilah pisau pemotong daging sehingga kedua-dua mangsa menyerahkan wang tunai RM159.60 dan RM155 serta tiga kotak rokok.

Tertuduh dijatuhi hukuman penjara 40 bulan dan satu sebatan bagi pertuduhan pertama serta penjara 44 bulan dan satu sebatan bagi pertuduhan kedua dan mahkamah memerintahkan kedua-dua hukuman berjalan serentak bermula dari tarikh tangkap pada 28 Okt lepas.

Yap melakukan perbuatan itu di dua kedai serbaneka iaitu di Taman Sungai Besi dan Desa Petaling, di sini, pada 2.16 pagi dan 3.04 pagi pada 9 dan 17 Okt lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda atau sebat.

Terdahulu, peguam Rose Maria Mansor yang mewakili tertuduh memohon hukuman penjara singkat atas alasan anak guamnya sedang menjalani hukuman penjara selama tiga tahun di Penjara Kajang atas kesalahan samun.

Timbalan Pendakwa Raya Siti Hajar Mohd Ashif memohon hukuman setimpal mengambil kira tertuduh menggunakan senjata iaitu sebilah pisau untuk menakutkan mangsa.- BERNAMA

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427