Disertai 800 peserta, keunikan kontinjen itu ditonjolkan melalui alatan (prop) dan persembahan khas sebagai simbolik perpaduan masyarakat antaranya kumpulan kompang, chingay, tarian naga dan singa, tarian merak, perarakan kuda serta pahlawan Bajau sekali gus mewarnai sambutan kali ini.
Kontinjen Komuniti Malaysia MADANI merupakan antara tujuh komponen perarakan tahun ini yang terdiri daripada Kontinjen Kesejahteraan dan Keselamatan, Kontinjen Kenegaraan, Kontinjen Kembara Merdeka Jalur Gemilang, Kontinjen GLC dan GLIC, Kontinjen Industri Kreatif dan Penyiaran serta Kontinjen Sukan Negara.
Turut menarik perhatian, Kontinjen Kembara Merdeka Jalur Gemilang yang membabitkan 67 kenderaan sempena ke-67 tahun kemerdekaan dengan peserta daripada pelbagai latar belakang, kaum serta profesion termasuk penjawat awam mahupun swasta.
Kontinjen itu adalah konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2024 yang menjelajah sejauh 8,551 kilometer merangkumi 162 hentian di Semenanjung, Sabah, Sarawak dan Labuan dan akan meneruskan misi memupuk semangat patriotik sehingga sambutan Hari Malaysia pada 16 September di Kota Kinabalu, Sabah.
Buat julung kali juga, perbarisan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan diketuai oleh Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain sekali gus menjadi satu kebanggaan kepada warga PDRM atas kesudian pucuk pimpinan tertinggi turun padang bagi bersama-sama menjayakan perarakan tahun ini.
Seperti kebiasaan sambutan Hari Kebangsaan, pertunjukan udara oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan menggamatkan ruang udara Putrajaya dengan deruan enjin jet pejuang seperti Sukhoi SU-30, F/A 18D Hornet dan Hawk MK 208.
Selain itu, bakal dipertontonkan persembahan tempur tanpa senjata daripada 250 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang penuh aksi dan bertenaga yang pastinya memukau para pengunjung.
Selain itu, persembahan tarian bertajuk “Cuci Rasuah” didedikasikan khas kepada perjuangan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam memerangi amalan itu akan turut dipersembahkan sebelum sambutan Hari Kebangsaan 2024 menutup tirai.
-BeritaHarian