KUALA LUMPUR: Samaiden Sdn Bhd (SSB), anak syarikat Samaiden Group Bhd (Samaiden) disenarai pendek oleh Suruhanjaya Tenaga (ST) bagi membangunkan Loji Solar Fotovoltaik Skala Besar (LSS) berkapasiti 99.99 Megawatt (MW) di Pasir Mas, Kelantan.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, Samaiden berkata SSB dianugerahkan kontrak Pakej 3 (kategori 30 MW hingga 500 MW) berdasarkan cadangan kompetitifnya dan pematuhan kepada keperluan permohonan untuk cadangan (RFP).
“Pencapaian ini menekankan komitmen berterusan Samaiden dalam memajukan sektor tenaga boleh diperbaharui (RE) di Malaysia dan menyokong matlamat peralihan tenaga negara,” katanya.
Samaiden menjelaskan, projek terbabit menggariskan kepakaran syarikat dalam menyediakan penyelesaian RE skala besar.
“Loji kuasa solar ini, dengan kapasiti eksport maksimum 99.99 MW, dijangka memberikan sumbangan yang besar kepada kapasiti tenaga boleh diperbaharui Malaysia.
“Projek ini disokong oleh Perjanjian Pembelian Tenaga Solar selama 21 tahun dengan Tenaga Nasional Bhd (TNB), memastikan aliran hasil yang stabil dan jangka panjang.
“Loji ini dijangka memulakan operasi komersial (COD) pada 11 Oktober 2027, apabila ia mula membekalkan elektrik kepada grid nasional,” katanya.
Pengarah Urusan Kumpulan Samaiden, Datuk Ir Chow Pui Hee, berkata penerimaan surat pemberitahuan (LON) dan pemilihan sebagai antara pembida yang berjaya adalah pencapaian penting bagi kumpulan.
Katanya, pencapaian itu menunjukkan kemampuan syarikat untuk melaksanakan projek RE skala besar dengan mengikut jadual dan cemerlang.
“Pembangunan Loji LSS 99.99 MW di Pasir Mas selaras dengan rancangan strategik kami untuk mengembangkan pemilikan aset kumpulan.
“Projek ini adalah bukti komitmen Samaiden untuk menyokong matlamat Malaysia mencapai campuran tenaga boleh diperbaharui sebanyak 70 peratus menjelang 2050, dan kami teruja untuk merealisasikan inisiatif ini sambil mengekalkan komitmen kami terhadap kelestarian alam sekitar,” katanya.
-BeritaHarian