Safawi Rasid penuhi impian kanak-kanak yatim piatu untuk bertemu

Estimate Reading Time: 2 minutes

DUNGUN- Hasrat seorang kanak-kanak yatim piatu yang ingin bertemu penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT), Muhammad Safawi Rasid pada hari terakhirnya dirawat di Hospital Dungun di sini akhirnya tercapai.

Muhammad Danish Irfan, 11, bersama enam lagi adik beradiknya menjadi yatim piatu selepas ibu bapa mereka, Norhapisah Idris, 34, dan Kamal Hisham Mustaffa Mohammad, 35, maut dalam kemalangan jalan raya di Jalan Felda Kerteh 2/3, dekat Ketengah Jaya, Dungun pukul 11.15 pagi, 4 Okt lepas.

Kanak-kanak itu, yang mengalami kecederaan kritikal akibat kemalangan itu, dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah dekat Kuala Terengganu sebelum dipindahkan ke Hospital Dungun pada 30 Okt.

Ibu saudaranya, Shaidah Idris berkata Muhammad Danish Irfan adalah seorang murid yang sangat aktif dalam sukan terutama bola sepak namun terpaksa melupakan minatnya itu apabila terlantar di hospital hampir dua bulan.

“Dia memang meminati corak permainan Safawi dan keinginannya untuk bertemu Safawi semakin membuak-buak setelah menonton perlawanan antara Malaysia dan Indonesia bagi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Selasa lepas.

“Alhamdulillah, impiannya tercapai apabila Safawi sudi datang menziarahnya pagi semalam. Walaupun Muhammad Danish Irfan tidak boleh bercakap dengan lancar, dari raut wajahnya terpancar rasa gembira yang sukar digambarkan apabila bertemu idolanya itu,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Selain Muhammad Danish Irfan, enam lagi adik beradiknya ialah Muhammad Danial, 12, Muhammad Darwish Iqbal, 9, Muhammad Dhiyauddin Aiman, 8, Muhammad Daim Amin, 6, Muhammad Dhiya Arsyad, 5, dan Dayyinah Athirah, 3.

Safawi yang dinobatkan sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP) buat kali kedua pada majlis Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2019 (ABK 19) yang berlangsung Sabtu lepas adalah anak jati Dungun.

Pemain berusia 22 tahun itu turut merangkul dua lagi anugerah – Penyerang Terbaik dan Pemain Paling Popular pada majlis itu.

Sementara itu, Safawi ketika dihubungi Bernama berkata beliau dimaklumkan mengenai hasrat kanak-kanak itu oleh kakak iparnya yang kebetulan bekerja sebagai doktor di Hospital Dungun.

Walaupun kepenatan kerana baru sahaja tiba di kampungnya di Dungun dari Johor kira-kira pukul 10.00 malam Rabu, beliau tetap meluangkan masa melawat kanak-kanak terbabit kerana simpati dengan nasib yang menimpanya.

Menurut Safawi, beliau ke hospital kira-kira pukul 10 pagi semalam dengan ditemani seorang daripada adiknya dan menghabiskan masa lebih setengah jam bagi bertanya khabar serta menemani kanak-kanak malang berkenaan.

“Kakak ipar beritahu yang kanak-kanak itu banyak kali sebut nama saya dan kebetulan pula saya baru sahaja balik bercuti di kampung malam semalam sementara menunggu permulaan pramusim Liga Malaysia (Liga M).

“Walaupun adik Danish tak dapat bercakap banyak, beliau masih dapat mengenali saya dan ada jugalah sedikit kata-kata semangat yang saya sampaikan kepadanya,” katanya yang terharu dengan sokongan peminat cilik itu kepadanya.- BERNAMA

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427