Sabah benarkan solat Aidilfitri ikut kapasiti dengan penjarakan fizikal

Estimate Reading Time: 2 minutes

Kota Kinabalu: Sabah membenarkan solat sunat Aidilfitri di masjid dan surau seluruh negeri mengikut kapasiti jemaah dengan mengambil kira penjarakan fizikal dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Aidilfitri yang disambut esok.

Kebenaran itu dijelaskan dalam ketetapan baharu prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi seluruh negeri Sabah selaras dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Semenanjung yang bermula hari ini hingga 7 Jun depan.

Bagaimanapun, Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata, masjid dan surau dilarang memasang khemah tambahan dan menggunakan tempat letak kereta untuk dijadikan ruang solat bagi menampung lebih ramai jemaah menunaikan solat sunat Aidilfitri.

Katanya, kerajaan negeri turut melarang kehadiran jemaah kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah dan golongan yang berisiko serta menyarankan supaya jemaah wanita tidak mengikuti aktiviti solat sunat Aidilfitri.

“Kerajaan negeri hanya membenarkan kehadiran jemaah mengikut kapasiti sedia ada masjid dan surau dengan mengambil kira penjarakan fizikal satu meter.

“Bacaan khutbah solat sunat Aidilfitri juga hanya dibenarkan selama 15 minit, manakala takbir Aidilfitri dibenarkan dibuat di masjid dan surau selepas solat Isyak (malam ini) dan solat subuh (esok),” katanya dalam kenyataan media, di sini, malam tadi.

Sementara itu, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri berkata, ziarah Aidilfitri di Sabah dibenarkan pada hari pertama hingga ketiga dalam kalangan ahli keluarga terdekat dengan kehadiran tidak melebihi 10 orang.

Katanya, aktiviti ziarah juga hanya dibenarkan dalam lingkungan daerah yang sama, selain tertakluk kepada kapasiti rumah dengan setiap 10 tetamu dihadkan selama dua jam, bermula jam 9 pagi hingga jam 9 malam.

“Tuan rumah juga diwajibkan menyediakan kod QR MySejahtera dan mematuhi protokol kesihatan umum yang ditetapkan,” katanya.

Bagi ziarah tanah kubur, katanya kerajaan negeri hanya membenarkan seramai enam orang dalam sebuah keluarga menziarahi satu lot kubur terhad selama 45 minit, manakala pengurusan tanah perkuburan diarah mengawal keluar masuk orang berziarah dan menyediakan kod QR MySejahtera.

Dalam pada itu, Masidi berkata, larangan merentas daerah di Sabah yang dikuatkuasakan sejak kelmarin hanya dilaksanakan sehingga 16 Mei ini, sebelum kembali kepada larangan rentas mengikut zon bermula 17 Mei sehingga 7 Jun depan seperti dilaksanakan sebelum ini.

Sepanjang tempoh itu, katanya kerajaan negeri turut melarang penganjuran majlis sosial seperti kenduri, majlis perkahwinan dan pertunangan, doa selamat dan tahlil, majlis makan malam dan sambutan hari jadi, selain seminar, persidangan dan mesyuarat secara bersemuka.

“Bagaimanapun, majlis akad nikah dibenarkan dengan kehadiran dan SOP yang ditetapkan oleh pihak berkuasa agama negeri bagi orang Islam dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi orang bukan Islam,” katanya.

Maklumat lanjut mengenai larangan dan SOP terkini sambutan Aidilfitri serta SOP PKPB terkini bagi negeri Sabah, katanya boleh disemak melalui laman rasmi Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabah.-METRO

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427