KUALA LUMPUR: Sabah FC mengumumkan bahawa Baddrol Bakhtiar akan meninggalkan peranannya sebagai ketua pasukan dan tidak lagi bersama skuad Badak bagi baki saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.
Kelab itu dalam kenyataan menjelaskan keputusan berkenaan diambil menerusi persetujuan bersama Baddrol atas sebab yang akan diumumkan dalam masa terdekat.
“Beliau akan sentiasa menjadi legenda di Sabah FC. Segala komitmen, dedikasi, semangat dan motivasi yang diberikan sepanjang bermain bersama Sabah FC dan seterusnya menerajui Sabah ke AFC Cup 2023 akan sentiasa dikenang.
“Dengan keseluruhan 41 penampilan dan 13 gol, tempatnya dalam sejarah kelab akan sentiasa terjamin. Nama Baddrol Bakhtiar juga akan terpahat sebagai legenda di arena bola sepak Malaysia.
“Kami mengucapkan selamat maju jaya dan mendoakan kejayaan dalam apa jua bidang yang beliau ceburi. Kami sentiasa mengalu-alukan Baddrol Bakhtiar kembali ke Sabah FC sebagai keluarga pada masa hadapan,” kata Sabah FC.
Baddrol menyertai Sabah pada musim lalu selepas 15 tahun menabur bakti bersama Kedah dalam kancah bola sepak tempatan.
– BH