KUALA LUMPUR: Pelakon sensasi, Ruhainies enggan mengambil pusing dengan pandangan orang luar jika ada yang melabel dirinya penunggang agama hanya disebabkan berkongsi amalan berselawat dalam media sosial.
Bagaimanapun, Ruhainies atau nama sebenar, Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas, 32, bersyukur kerana ramai individu mahu menyertai misi berzikir dan meneruskan rutin itu walaupun tempoh 40 hari sudah tamat.
“Kalau hendak berprasangka buruk biarkan sahaja. Saya cuma mahu kongsi amalan baik. Alhamdulillah, saya dapat banyak DM (mesej langsung) yang mahu sertai misi berselawat ini bersama dan ada baru hendak mula.
“Saya percaya apabila kita jadikan berselawat sebagai rutin, rasa hari tidak lengkap kalau tertinggal. Saya teruskan sahaja sampai sekarang sebab ibu sarankan saya buat. Ibu kata bukan sekadar dapat pahala, malah, mampu beri ketenangan.
“Sebagai manusia biasa kita tidak lari daripada memikirkan perkara yang kurang elok. Tetapi dengan berselawat, saya dapat lencongkan hal negatif itu,” katanya.
Menurut Ruhainies, demi memastikan dirinya konsisten dalam melakukan amalan itu, dia sering membawa alat zikir digital ke mana-mana sekali gus menjadi teman akrabnya sekarang.
“Alhamdulillah, banyak perkara positif yang hadir dalam hidup saya sekarang seperti kawan baharu, rezeki berterusan dan sebagainya.
“Nikmat yang Allah kurniakan ini tentu saja saya syukuri kerana membuatkan saya terus beringat dalam meneruskan langkah ini,” katanya.
Ruhainies juga mengaku menghadiri kelas agama secara atas talian.
“Saya juga sertai kelas agama tetapi secara atas talian. Bukan tidak mahu sertai majlis ilmu sebab ada kawan pelawa, tetapi, saya tidak mahu kerana lebih selesa menjaga privasi.
“Kalau boleh, tak mahu ada kamera (tidak mahu menunjuk). Biarlah urusan mengejar ilmu akhirat itu antara saya dan Allah sahaja,” katanya.
Terdahulu, Ruhainies menjadi antara artis paling ‘panas’ tahun ini berikutan kontroversi khalwat bersama pelakon dan penyanyi, Aliff Aziz, Mac lalu.
Berikutan insiden itu, Ruhainies terus berdepan kecaman terutama setiap kali memuat naik hantaran media sosial termasuk amalan 1,000 selawat selama 40 hari yang dilakukan.
-BeritaHarian