RTK 2.0 di Selangor jana hasil RM100 juta, 182,754 PATI didaftar

Estimate Reading Time: 2 minutes

SHAH ALAM: Jabatan Imigresen Selangor menjana hasil lebih RM100 juta menerusi Program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) 2.0 yang bermula 27 Januari lalu.

Mengikut rekod permohonan sehingga 10 Mei lalu, seramai 182,754 pendatang asing tanpa izin (PATI) didaftarkan oleh majikan di seluruh negeri ini melalui program berkenaan yang akan berakhir 31 Disember depan.

Pengarah Imigresen Selangor, Dr Muhammad Syami Jaafar, berkata daripada jumlah permohonan setakat ini, 20,794 permohonan sudah selesai melalui peringkat verifikasi sebelum 19,699 permohonan diluluskan.

“Saya minta majikan di Selangor, tidak kira sektor perkilangan, perindustrian, perkhidmatan atau pembersihan tampil mendaftarkan pekerja mereka yang dikategorikan sebagai PATI dalam Program RTK 2.0,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau hari pertama dan sesi pertama Program RTK 2.0 bagi kategori Pembantu Rumah Asing (PRA) di Kompleks PKNS, di sini hari ini.

Muhammad Syahmi berkata, antara faktor menyumbang kepada permohonan tertinggi di Selangor disebabkan pengoperasian kilang-kilang di kawasan perindustrian yang kebanyakannya berpusat di negeri ini.

“Sektor paling tinggi pendaftarannya adalah pembinaan, diikuti perkilangan dan perkhidmatan, ini tiga sektor aktif di Selangor. Jumlah tenaga buruh yang tinggi bermastautin di Selangor juga antara penyumbang kepada peningkatan permohonan Program RTK 2.0 ini,” katanya.

Mengikut laman web Jabatan Imigresen, RTK 2.0 tahun ini tidak mengenakan wang cagaran, manakala fi rekalibrasi yang dikenakan adalah RM1,500 seorang.

Bayaran levi bagi sektor perkilangan, pembinaan, perlombongan dan pengkuarian serta pengawal keselamatan dan perkhidmatan pula sebanyak RM1,850, manakala bagi sektor perladangan dan pertanian RM640.

Bayaran pas dikenakan RM60, selain bayaran proses sebanyak RM125, manakala bayaran untuk visa pula berbeza-beza mengikut warganegara.

Mengenai Program RTK 2.0 bagi kategori PRA pula, beliau memaklumkan, seramai 7,250 PRA dari negara sumber yang dibenarkan, iaitu Indonesia, Filipina, Sri Lanka, Thailand, Kemboja, India, Laos, Vietnam dan Nepal, sudah didaftarkan setakat ini.

“Ini bermakna tahun ini, seramai 7,250 pembantu rumah asing masih aktif di Selangor dengan dari Indonesia mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 4,686 orang,” katanya.

Ia diikuti PRA dari Filipina dengan 2,091 orang, Vietnam (201), India (99), Kemboja (97), Sri Lanka (43), Thailand (35), Nepal (3) dan lima dari lain-lain negara.

Katanya, jumlah permohonan semasa yang direkodkan bagi Program RTK 2.0 di Selangor ialah 733 dan hari ini bermula urusan verifikasi bagi kategori berkenaan. – Berita Harian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427