RMK13 akan dirangka seperti RMK1, ringkas dan menyeluruh

Estimate Reading Time: 2 minutes

SEPANG: Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) akan dirangka dengan mengambil pendekatan yang sama seperti RMK Pertama yang lebih ringkas dan menyeluruh dan berasaskan ‘kanvas kosong’.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, berkata RMK13 akan menumpukan keutamaan cabaran ekonomi dan melaksanakan reformasi yang lebih radikal secara tersusun, membolehkan kerajaan tetap adaptif dan responsif terhadap keperluan rakyat.

Katanya, ekonomi Malaysia telah berkembang dengan ketara daripada pergantungan kepada getah dan bijih timah semasa pasca kemerdekaan, namun transformasi lanjut diperlukan untuk mengekalkan kelebihan daya saing dan daya tahan dalam dunia yang semakin mencabar.

“Kerajaan komited untuk melaksanakan reformasi radikal, berani dan transformatif yang akan memperkukuh asas ekonomi negara, memastikan Malaysia berada dalam kedudukan yang baik untuk memanfaatkan potensi besar rantau ASEAN.

“Dengan ASEAN dijangka menjadi pasaran pengguna keempat terbesar di dunia dalam tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang, adalah penting bagi kita untuk merebut peluang ini bagi mempertingkat daya saing, memacu pertumbuhan mampan, dan menjamin masa depan yang makmur untuk semua rakyat Malaysia.

“Selaras dengan visi ini, RMK13 akan menjadi dokumen strategik yang ringkas namun komprehensif, direka untuk mudah difahami oleh semua rakyat Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucap tama pada Persidangan Permulaan RMK13 2026-2030 di sini, hari ini.

Rafizi berkata, bagi memastikan RMK13 mencerminkan aspirasi semua rakyat Malaysia, Kementerian Ekonomi akan melancarkan jelajah ‘Madani Mendengar’, satu inisiatif untuk mengumpulkan input daripada kumpulan pemikir awam, wakil sektor swasta, dan rakyat biasa di seluruh negara.

“Sesi jelajah ini akan diadakan di kesemua 13 negeri dan tiga Wilayah Persekutuan untuk memastikan setiap orang mempunyai peluang untuk menyuarakan kebimbangan, pandangan dan juga cadangan mereka untuk membantu membentuk masa depan negara.

“‘Madani Mendengar’ akan menjadi platform bagi membolehkan semua suara dapat didengar, membimbing proses reformasi dan memastikan penggubalan dasar selaras dengan keperluan sebenar rakyat.

“Pandangan-pandangan ini juga boleh disampaikan melalui portal RMK13 yang baru sahaja dilancarkan di pautan https://rmk13.ekonomi.gov.my .

“Saya ingin menyeru semua rakyat untuk mengambil bahagian secara aktif dalam perjalanan ini. Kejayaan RMK13 bergantung kepada pendekatan keseluruhan negara,” katanya.
-BeritaHarian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427