AYER KEROH: Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) memperuntukkan RM131 juta bagi mengganti paip air usang di seluruh negeri, bermula tahun depan.
EXCO Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer, berkata penggantian paip sepanjang 443 kilometer (km) di seluruh Melaka itu adalah perancangan jangka panjang, manakala perancangan jangka pendek ialah penyelenggaraan berkala.
“Penyelenggaraan berkala itu di semua kawasan terbabit dengan penggantian paip berkenaan. Semua ini untuk memastikan masalah paip bocor dan pecah yang kerap sebelum ini dapat terus dikurangkan dari setahun ke setahun,” katanya.
Beliau menjelaskan demikian pada hari kedua persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di Seri Negeri, di sini hari ini bagi menjawab soalan tambahan Datuk Khaidirah Abu Zahar (BN-Rim) mengenai masalah gangguan bekalan air yang kerap di Jasin.
Hameed Mytheen berkata, Melaka mempunyai saliran paip sepanjang 5,605 kilometer (km) dengan 1,169km paip usang jenis `asbestos’ yang sudah berusia lebih 40 tahun.
Justeru, katanya, untuk menggantikan keseluruhan paip terbabit, pasti memerlukan perbelanjaan besar yang dianggarkan mencecah RM700 juta.
“Ia bukan sahaja membabitkan penggantian paip, bahkan merangkumi pengambilan tanah, turapan jalan dan utiliti lain,” katanya.
Sementara itu, EXCO Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, VP Shanmugam, berkata kerajaan negeri mencadangkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyalurkan peruntukan khas kepada negeri yang pernah menjadi tuan rumah acara Sukan Malaysia (SUKMA).
Peruntukan itu, katanya, akan digunakan untuk menjaga dan menyelenggara segala fasiliti sukan yang digunakan pada acara berprestij itu, selain mengelakkan perbelanjaan lebih besar bagi penganjuran pada masa akan datang.
“Cadangan sudah disuarakan kepada Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, namun setakat ini belum ada sebarang keputusan. Bagaimanapun di Melaka, kita dalam proses menyerahkan semua fasiliti sukan yang ada kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) atau pejabat daerah untuk diurus dan dijaga.
“Namun proses ini juga membabitkan peruntukan dan ia sedang diusahakan,” katanya menjawab soalan tambahan Kerk Chee Yee (PH-Ayer Keroh) mengenai cara penyelesaian sistematik untuk menjaga struktur sukan di Melaka.
– BH