RM123.7 juta baik pulih pangsapuri kos rendah, sederhana di Selangor sejak 2011

Estimate Reading Time: < 1 minute

KLANG: Kerja membaik pulih struktur bumbung runtuh dan tercabut, lif rosak, tangki air, mengecat pangsapuri kos rendah serta sederhana di negeri ini membabitkan peruntukan RM123.7 juta.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan negeri, Rodziah Ismail berkata, sebanyak 357 pangsapuri terbabit dalam projek berkenaan menerusi Skim Baik Pulih Negeri Berkebajikan (CERIA) sejak 2011 hingga tahun lalu.

“Pada tahun ini, sebanyak RM7 juta diperuntukkan bagi melaksanakan program sama di kawasan terpilih, yang boleh didaftar secara dalam talian.

“Berbanding negeri lain, hanya Selangor saja mempunyai skim bantuan baik pulih pangsapuri kos rendah yang konsisten dengan sistem permohonan yang efisien.

“Skim CERIA ini banyak membantu pihak pengurusan Badan Pengurusan Bersama (JMB) atau Perbadanan Pengurusan (MC) menampung kos baik pulih kerosakan bangunan.

“Ini selaras dengan hasrat kerajaan negeri membantu golongan B40 yang kebanyakannya mendiami pangsapuri kos rendah dan sederhana rendah,” katanya selepas Majlis Simbolik Penyerahan Projek Skim CERIA Pangsapuri Bukit Tinggi 1, di sini, hari ini.

Turut hadir, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang (MPK), Noraini Roslan.

Rodziah berkata, kebanyakan permohonan yang diterima membabitkan pembaikan struktur bumbung runtuh, lif rosak, tangki air, cat dan aduan pembuangan sampah dari atas pangsapuri.

“Bagi memastikan aduan lebih cepat diselesaikan, kita minta pengurusan JMB membuat permohonan menerusi sistem e-Ceria dan pihak berkaitan akan cuba selesaikan secara berperingkat,” katanya.

Katanya, menerusi skim ini secara tidak langsung kerajaan negeri mengambil tanggungjawab meringankan pelbagai masalah pengurusan dan penyelenggaraan bangunan pangsapuri kos rendah yang kebanyakannya gagal dilaksanakan JMB/MC.

“Bantuan skim CERIA ini diharapkan dapat memberi motivasi dan inspirasi kepada penduduk untuk segera menubuhkan badan pengurusan dengan adanya komitmen pemilik petak untuk bersama-sama mengurus dan menyelenggara pangsapuri.

“Pematuhan Akta 757 dapat dipastikan sekiranya pihak penduduk peka dengan kepentingan penubuhan JMB/MC seperti melaksanakan kutipan caj, memenuhi keperluan insurans dan membuat tuntutan terhadap tribunal,” katanya.

– BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427