RM114 juta duit UMNO yang diamanahkan kepada saya: Najib

Estimate Reading Time: 2 minutes

Kuala Lumpur: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menafikan dakwaan beliau hanya mendedahkan sebahagian asetnya berhubung perintah injunksi mareva (larangan melupuskan harta) yang dikeluarkan Mahkamah Tinggi pada Februari tahun lalu.

Najib melalui afidavit jawapannya terhadap permohonan injunksi mareva oleh syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB), berkata wang berjumlah RM114 juta yang dilaporkan dikembalikan kepadanya bukan sebahagian daripada aset beliau.

“Ini kerana pada setiap masa, jumlah RM114 juta itu dipegang secara amanah oleh saya bagi pihak UMNO selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang baru selesai beberapa hari sebelum serbuan di apartmen saya.

“Sebagai presiden UMNO, saya diamanahkan dengan dana berkenaan bagi tujuan pilihan raya tetapi wang terbabit tidak menjadi milik saya. Oleh itu, segala dakwaan saya tidak menzahirkan harta seperti yang didakwa dinafikan sekeras- kerasnya,” katanya.

Najib berkata, alasan RM114 juta itu pada awalnya dikembalikan kepadanya adalah kerana ia di dalam satu prosiding perlucutan hak harta yang dimulakan oleh Pendakwa Raya dan selepas ia (permohonan) ditolak,

tiada perintah dibuat mengenai ke mana wang harus dikembalikan.

“Oleh itu, pihak berkuasa hanya dikehendaki mengembalikan wang terbabit ke tempat di mana ia ditemui (iaitu di kondominium saya),” katanya.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu memfailkan jawapan berkenaan melalui firma guaman Tetuan Shafee & Co pada 28 Jun lalu.

Sebelum ini, Pengerusi 1MDB, Datuk Johan Mahmood, menerusi afidavit tambahan dalam kes saman difailkan syarikat itu dan anak syarikat 1MDB mendakwa Najib hanya mendedahkan sebahagian asetnya dari tahun 2011 hingga 2020 dan tiada maklumat dibuat mengenai asetnya dari tahun 2021 hingga 14 Mac lalu.

Johan berkata, berdasarkan afidavit Najib berhubung pendedahan asetnya, beliau percaya Najib hanya membuat pendedahan separa dan tidak mematuhi perintah mareva dan perintah ad-interim (sementara).

Katanya, Najib tidak mendedahkan aset yang dipegang dalam akaun banknya, tidak mendedahkan aset terkininya dan aset yang didedahkan adalah berkaitan tempoh 2011 hingga 2020.

Beliau berkata, tiada pendedahan berkenaan aset Najib pada 2021 sehingga 14 Mac 2022 dan Najib tidak mendedahkan sebarang aset di luar bidang kuasa di mana mengikut laporan berita bertarikh 5 Ogos 2021, wang tunai sebanyak RM114 juta dilepaskan kepadanya berikutan penolakan saman berhubung pelucutan hak harta.

Pada 8 Februari tahun lalu, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan ex-parte bagi injunksi mareva oleh 1MDB dan Global Diversified Investment Company Limited (dahulunya dikenali sebagai 1MDB Global Investments Limited) iaitu plaintif pertama dan kelima dalam saman terhadap Najib dan beberapa individu lain.

Injunksi itu turut mengehadkan Najib mengeluarkan wang tidak melebihi RM100,000 sebulan yang diperlukan untuk perbelanjaan sara hidup serta guaman, namun sekiranya jumlah lebih banyak diperlukan, beliau perlu mendapat kebenaran bertulis daripada peguam 1MDB dan Global Diversified.

Perintah itu juga menyatakan Najib mesti membuat pendedahan secara bertulis kepada 1MDB dan Global Diversified berhubung asetnya bernilai sehingga US$681 juta sama ada di dalam atau di luar negara di bawah nama beliau sendiri atau tidak dan sama ada milikan secara tunggal atau secara bersama dengan defendan lain

Selain Najib, turut dinamakan dalam saman itu ialah bekas Pengarah Kewangan 1MDB, Terrence Geh Choh Heng; bekas peguam syarikat itu, Jasmine Loo Ai Swan; bekas Pengarah Eksekutif 1MDB, Casey Tang Keng Chee; bekas Ketua Pegawai Operasi 1MDB, Vincent Beng; bekas Ketua Pegawai Operasi (COO) 1MDB, Bekas Ketua Pegawai Operasi (COO) 1MDB, Radhi Mohamad.

– BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427